Vivian jawab isu umur terlalu muda

Iklan
Calon DAP Vivian Wong Shir Yee menyampaikan ucapannya pada majlis ceramah umum sempena kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Sandakan di Indah Jaya malam tadi. - Foto Bernama

SANDAKAN - Calon DAP bagi PRK Sandakan Vivian Wong Shir Yee menepis tangapan parti pembangkang Parti Bersatu Sabah (PBS) kononnya usia beliau terlalu muda dan tidak sesuai untuk menjadi wakil rakyat.

Vivian, 30, berkata dakwaan itu tidak berasas kerana sejak dari awal lagi beliau sudah didedahkan dengan dunia politik oleh mendiang bapanya (Datuk Stephen Wong Tien Fatt).

Iklan
Iklan

Katanya, ketika bekerja di Kuala Lumpur, beliau juga terlibat dalam Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang menjalankan aktiviti membantu golongan yang memerlukan di luar negara.

"Saya tidak fikir faktor usia muda menjadi penghalang untuk seseorang menjadi pemimpin dan berkhidmat kepada rakyat, Orang muda juga tahu berkhidmat kepada rakyat... yang penting hati yang ikhlas untuk berkhidmat,” katanya pada ceramah di pasar malam Kim Fung di sini Sabtu malam.

Iklan

Justeru beliau berharap penduduk Sandakan akan memberinya peluang untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat mereka dan meneruskan usaha mendiang bapanya.

DAP berhadapan empat saingan dari calon Parti Bersatu Sabah (PBS) dan tiga calon Bebas untuk mempertahankan Parlimen Sandakan pada PRK Parlimen itu.

Iklan

DAP mempertaruhkan Vivian Wong Shir Yee, 30, yang dicabar oleh Datuk Linda Tsen Thau Lin (PBS) serta tiga calon Bebas iaitu Chia Siew Yung, Sulaiman Samat dan Hamzah Abdullah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian awal pada 7 Mei dan mengundi pada 11 Mei ini.

PRK Sandakan diadakan susulan kematian anggota parlimennya Datuk Stephen Wong Tien Fatt pada 28 Mac lepas. - Bernama