SUNGAI PETANI - Insiden seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang didakwa menghalang pelawat memasuki sebuah pejabat kerajaan disifatkan sebagai kes terpencil.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meminta agar kes berkenaan tidak diperbesarkan.
Menurutnya, Rela akan menggunakan mekanisme dalaman bagi tujuan penambahbaikan perkara itu.
"Kita ada mekanisme dalaman yang akan ditentukan oleh kepimpinan bagi menyelesaikan isu itu,” katanya ketika diminta mengulas mengenai insiden tersebut.
Beliau ditemui semasa Sambutan Hari Ulang Tahun Rela ke-51 peringkat kebangsaan 2023 yang diadakan di Pusat Latihan Rela Wilayah Utara di Bukit Selambau, pada Isnin.
Hadir sama, Ketua Pengarah Rela, Datuk Yahya Sulaiman dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Pada 30 Jun lalu, media melaporkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sudah menggantung tugas seorang anggota Rela selepas didakwa cuba menghalang pelawat memasuki pejabat Perkeso di Pulau Pinang kerana berpakaian skirt pendek.
Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata, Rela yang mencapai usia lebih 50 tahun sejak penubuhannya telah melalui beberapa proses evolusi yang sangat membanggakan.
Katanya, daripada objektif asal penubuhannya membuka peluang kepada rakyat untuk terlibat dalam menjaga aspek ketenteraman awam dan keselamatan, penugasan jabatan itu kini semakin diperluaskan.
"Rela harus cepat dalam melakukan adaptasi terhadap perubahan masa dan juga cabaran yang akan mereka hadapi, bermaksud gaya berfikir tidak boleh lagi gaya lama.
"Ia harus respons kepada harapan dan juga kepada cabaran semasa yang bersangkutan dengan aspek ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya.
Seramai kira-kira 1,000 anggota dan pegawai Rela hadir ke sambutan berkenaan yang dimulakan dengan Kawalan Kehormatan, Persembahan Seni Silat Rela, Marksman dan National Border Team serta lafaz ikrar.