SHAH ALAM - Pemeriksaan dan pemantau akan diperluas terhadap pengilang yang menukar label beras serta tindakan tegas dikenakan jika didapati terlibat.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia selepas media melaporkan mengenai aduan orang ramai berhubung perkara tersebut.
Beliau menjelaskan, Badan Kawal Selia dan Padi (BKSBP) telah diarahkan mengambil langkah alternatif membendung masalah itu.
"Justeru, BKSBP perlu tingkatkan pemeriksaan dan pemantauan serta mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati terlibat dengan tindakan menukar label berkenaan.
"Penyediakan talian hotline juga perlu disediakan bagi memudahkan orang menyalurkan maklumat mengenai bekalan atau penipuan.
"Aduan juga boleh dilakukan menerusi emel rasmi aduankpb@kpkm.gov.my atau melalui nombor yang tertera di poster ini,” katanya dalam satu kenaytaan di Facebook.
Pada Jumaat, media melaporkan, disebabkan mahu mengaut keuntungan besar, segelintir pemborong beras didakwa cuba memanipulasi harga kawalan yang ditetapkan kerajaan dengan menukar kampit beras tempatan kepada kampit beras import.
Katanya, taktik itu dipercayai dilakukan kerana harga beras import tidak dikawal kerajaan, sebaliknya hanya diapungkan, manakala harga beras tempatan ditetapkan pada RM26 untuk beg 10 kilogram (kg).