ANGGOTA kumpulan Blackpink, Lisa Manoban mencuri perhatian ramai apabila tampil dengan gaya rambut yang mempamerkan bahagian dahi yang sering dielakkannya sebelum ini.
Penampilan istimewa itu digayakan Lisa, 26, ketika menghadiri acara Bvlgary Serpenti 75th Anniversary Collection yang diadakan di Seoul, Korea Selatan baru-baru ini.
Bagi peminat dan mereka yang sentiasa mengikuti perkembangan bintang global popular itu pasti maklum dengan imej rambut fringe menutupi dahi yang cukup sinonim dengan dirinya.
Malah Lisa sebelum ini pernah memberitahu dia tidak akan sesekali membiarkan dahinya terdedah tidak kira atas apa alasan termasuk tuntutan kerja.
Menerusi temu bual bersama Knowing Brothers pada 2020, selebriti asal Thailand itu turut memberitahu dia hanya akan mendedahkan bahagian dahinya jika dibayar sebanyak KRW10 bilion atau RM35 juta.
Justeru apabila melihat penampilan Lisa dengan gaya tersebut, warga maya berpendapat penyanyi lagu Money dan Lalisa itu mungkin sudah dibayar untuk tampil dengan gaya sebegitu.
Apa-apa pun pemilik akaun Instagram yang mempunyai 95.4 juta pengikut itu kelihatan cukup anggun dan elegan dengan penampilan tersebut, apatah lagi dalam persalinan gaun sutera berwarna putih yang ternyata menampakkan sisi lain dirinya.
Penampilan itu pantas tular dan dikongsi di hampir kesemua platform media sosial di mana rata-rata warga maya memuji dan menyukai penampilan tersebut.