KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi, di sini bahawa RM114 juta yang dikembalikan adalah bukan miliknya tetapi hak UMNO.
Beliau berkata demikian menerusi afidavit jawapan terhadap permohonan injunksi mareva oleh syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang difailkan pada 28 Jun lalu, melalui firma guaman Tetuan Shafee & Co.
Najib berkata, wang itu disimpan secara amanah bagi pihak UMNO selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, beberapa hari sebelum serbuan dibuat di kediamannya.
Menurutnya, selaku Presiden UMNO, beliau telah diamanahkan dengan dana tersebut untuk tujuan pilihan raya, sekali gus tidak menjadikannya sebagai pemilik asal wang tersebut.
"Alasan RM114 juta tersebut pada awalnya telah dikembalikan kepada saya adalah disebabkan prosiding perlucuthakkan harta.
"Sebelum ini, mahkamah telah menolak permohonan pasukan pendakwa raya untuk melucut hak wang itu, namun tiada perintah wang tersebut harus dikembalikan kepada mana-mana pihak maka pihak-pihak berkuasa hanya dikehendaki untuk mengembalikan wang tersebut ke tempat di mana ia ditemui (iaitu di kondominium saya),” kata Najib menerusi dokumen itu.
Pemimpin politik itu berkata, Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengesahkan melalui satu afidavit pada masa material dalam prosiding yang dinyatakan bahawa RM114 juta tersebut adalah milik parti.
Selain itu, Najib berkata, kenyataan bahawa beliau tidak menzahirkan aset melebihi RM31 juta adalah satu laporan yang mengelirukan oleh deponen (pihak yang mengeluarkan afidavit) kepada mahkamah.
Menurutnya, RM31 juta yang dilaporkan itu adalah nilai kolektif aset yang dicadangkan untuk disita antaranya dan 17 responden yang lain.
Menurutnya, antara barang yang dirampas dari kediamannya, kebanyakan barang itu adalah milik isteri dan anak-anak kecuali beberapa aksesori yang merupakan hadiah.
"Oleh itu, saya menafikan dakwaan hanya mendedahkan sebahagian aset berhubung perintah injunksi mareva (larangan melupuskan harta) yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi pada Februari tahun lalu," katanya.
Pada 2019, pendakwaan memfailkan permohonan untuk melucut hak barangan merangkumi 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 aksesori jam tangan, 234 pasang cermin mata serta 306 beg tangan dan wang tunai berjumlah RM114,164,393.44.
Ia sebahagian daripada wang tunai, barang kemas dan aset lain bernilai RM680 juta yang disita daripada kondominium di Pavilion Residences, Kuala Lumpur milik Obyu Holdings Sdn Bhd pada 2018.
Obyu Holdings adalah defendan tunggal dalam saman lucut hak utama berkaitan 1MDB.
Bagaimanapun, UMNO dan Najib menjadi pihak ketiga yang menuntut pemulangan wang RM114 juta itu.
Pada 5 Ogos 2021, peguam bekas Perdana Menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengesahkan Najib dan UMNO telah menerima wang berjumlah RM114 juta yang disita dari Pavilion Residences, milik Obyu Holdings.
Difahamkan, kesemua aset itu diserahkan pada 17 Jun tahun sama.
Pemulangan dilakukan selepas pihak pendakwaan tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan melucut hak wang tunai bernilai jutaan ringgit itu kepada kerajaan.
Pada 20 Mei lalu, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin dalam keputusannya tidak membuat sebarang perintah sama ada ia dikembalikan kepada pemilik atau disimpan oleh kerajaan.
Pada 26 Mei lalu, Pengerusi 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Datuk Johan Mahmood mendakwa, Najib hanya mendedahkan sebahagian asetnya berhubung perintah injunksi mareva (larangan melupuskan harta) yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi pada Februari tahun lalu.
Menerusi afidavit tambahan dalam kes saman yang dikemukakan 1MDB dan anak syarikatnya terhadap Najib dan tujuh yang lain, Johan mendakwa Najib hanya mendedahkan asetnya dari tahun 2011 hingga 2020, dan tiada maklumat dibuat mengenai asetnya dari tahun 2021 hingga 14 Mac, 2023.
Pada 8 Februari tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan ex-parte bagi injunksi mareva oleh 1MDB dan Global Diversified Investment Company Limited (dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited) iaitu plaintif pertama dan kelima dalam saman terhadap Najib dan beberapa individu lain.
Injunksi itu turut mengehadkan Najib mengeluarkan wang tidak melebihi RM100,000 sebulan yang diperlukan untuk perbelanjaan sara hidup serta guaman namun sekiranya jumlah lebih banyak diperlukan, beliau perlu mendapat kebenaran bertulis daripada peguam 1MDB dan Global Diversified.
Perintah itu juga menyatakan Najib mesti membuat pendedahan secara bertulis kepada 1MDB dan Global Diversified berhubung asetnya bernilai sehingga US$681 juta sama ada di dalam atau di luar negara di bawah nama beliau sendiri atau tidak dan sama ada milikan secara tunggal atau secara bersama dengan defendan lain.
Selain Najib, turut dinamakan dalam saman itu ialah bekas Pengarah Kewangan 1MDB, Terrence Geh Choh Heng; bekas peguam syarikat itu, Jasmine Loo Ai Swan; bekas Pengarah Eksekutif 1MDB, Casey Tang Keng Chee; dan bekas Ketua Pegawai Operasi 1MDB Vincent Beng dan Radhi Mohamad.
Turut dinamakan sebagai defendan ialah bekas Pengarah Pelaburan Kelvin Tan Kay Jim dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil.