KUALA LUMPUR - Orang ramai yang berhasrat untuk berkhemah atau beriadah di jeram, air terjun atau lokasi rekreasi air yang bukan tempat rekreasi awam, diminta agar sentiasa peka dengan sebarang perubahan keadaan air sungai di kawasan berkenaan.
Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam, Aminurrahim Mohamed berkata, ia termasuk paras ketinggian, warna, kederasan dan keberadaan puing-puing asing yang timbul di permukaan selain mengawasi aktiviti ahli keluarga terutama anak-anak di dalam air.
"Perubahan ini merupakan antara indikator untuk mengesan sebarang kemungkinan bahaya yang boleh berlaku serta membolehkan mereka yang menyertai aktiviti perkhemahan mengambil langkah keselamatan awal sekiranya berlaku kejadian kepala air seperti di Jeram Air Putih, Kemaman, Terengganu.
"Antara langkah lain yang perlu dilakukan ialah dengan melaporkan sebarang aktiviti dan pergerakan yang hendak dilakukan di balai polis berhampiran selain memastikan diri serta ahli keluarga dalam keadaan sihat,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, selain itu, orang ramai digesa sentiasa mengambil tahu tentang situasi cuaca di lokasi yang dituju dan memastikan kawasan perkhemahan didirikan di tapak serta jarak yang selamat dari gigi air.
Aminurrahim berkata, langkah itu bagi memastikan mereka mempunyai tempoh masa mencukupi untuk menyelamatkan diri jika berlaku kenaikan paras air yang drastik.
"Orang ramai juga perlu berwaspada dengan impak angin kencang dan hujan lebat yang boleh menyebabkan kejadian tanah runtuh, kepala air, kerosakan struktur serta pokok tumbang bukan sahaja di kawasan rekreasi awam tetapi juga boleh berlaku di kawasan awam dan kediaman,” katanya. - Bernama