PASIR PUTEH - Seorang penebang pokok ditemukan meninggal dunia selepas tersangkut pada pohon tualang berketinggian kira-kira 24 meter di Kampung Cabang Tungkat, Batu 8 di sini pada Isnin.
Lelaki dianggarkan berusia 55 tahun itu terlebih dahulu dikatakan tidak sedarkan diri di atas pokok kira-kira pada jam 1 petang.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Zainal Madasin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi.
"Sebaik tiba, pasukan bomba melakukan kerja-kerja penyelamatan di lokasi dan lelaki tersebut berjaya dibawa turun pada jam 7.20 malam.
"Dia bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan diserahkan kepada pihak polis,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.
Menurut beliau, operasi tersebut disertai 16 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh serta Machang.
"Operasi turut melibatkan dua jentera bomba dan tamat pada jam 8.14 malam,” katanya.