BERBAKI kurang tiga bulan sahaja lagi, perlumbaan jelajah berbasikal terunggul di rantau Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) akan kembali menghiasi kalendar arena sukan tanah air.
Memasuki edisi ke-27 tahun ini, LTdL yang kembali diserahkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) selaku penganjur dijadual berlangsung dari 23 hingga 30 September depan.
Bagaimanapun, timbul perkhabaran pulau legenda, Langkawi yang cukup sinonim dengan penganjuran LTdL selama ini tiada dalam senarai laluan perlumbaan bagi edisi 2023.
Sebaliknya, LTdL yang masih kekal dengan status perlumbaan Pro Series sehingga tahun 2025, akan kembali menjelajah negeri Pantai Timur seperti Terengganu dan Kelantan selain menelusuri kawasan di Pantai Barat.
Untuk rekod, ini bukan kali pertama Langkawi 'tersingkir' daripada senarai destinasi perlumbaan LTdL kerana situasi sama pernah berlaku ketika penganjuran edisi 2016.
Malah, Genting Highlands - perlumbaan yang terkenal dengan julukan 'peringkat ratu' juga tiada dalam senarai LTdL 2016 atas faktor kos penganjuran yang tinggi pada ketika itu.
Dari segi penganjuran LTdL 2023, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kembali memberikan tanggungjawab kepada MSN, namun kontraktor perlumbaan masih belum diumumkan secara rasmi.
Bermula 2010, MSN mengambil alih penganjuran LTdL selepas perlumbaan cetusan ilham bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu dibayangi masalah kewangan apabila dianjurkan pihak swasta.
Namun, dalam tiga edisi terdahulu, syarikat pengurusan acara, Human Voyage Sdn Bhd diberikan kepercayaan menjadi penganjur LTdL yang mula diperkenalkan pada tahun 1996.
Human Voyage telah diberikan kontrak selama tiga tahun antara 2019 hingga 2021, namun ia dilanjutkan pada 2022 selepas penganjuran edisi 2021 ditunda susulan pandemik Covid-19.
Sebelum itu, Human Voyage yang dinaungi bekas pelumba basikal kebangsaan, Datuk Abdul Malik Mydin pernah menjadi penganjur LTdL buat kali pertama pada edisi 2015.
Bermula edisi 2016 hingga 2018, giliran syarikat pengurusan acara berbasikal, Ciclista Sports Sdn Bhd pula mengambil alih tugas selaku penganjur perlumbaan LTdL.
Kini MSN sekali lagi mendapat kepercayaan KBS untuk menganjurkan LTdL - perlumbaan yang pernah mendapat perhatian beberapa pasukan terkemuka dunia seperti Astana, Garmin dan Omega Pharma-Quick Step.