UMAT Islam baru sahaja selesai menyambut Hari Raya Aidiladha. Di sana-sini banyak aktiviti korban dijalankan sama ada di masjid, surau atau tempat-tempat bersesuaian.
Setiap tahun, Merak Jalanan tidak akan melepaskan peluang untuk bersama-sama jemaah surau di kawasan Merak Jalanan bagi menjalani ibadah korban.
Yang menariknya, semua peringkat usia tidak kira golongan remaja atau sudah berusia akan bersama-sama bergotong-royong menyempurnakan ibadah tersebut. Ketika inilah masanya dapat bertemu jiran yang jarang-jarang berjumpa akibat sibuk bekerja.
Tugas menyembelih dan melapah haiwan korban dilakukan kaum lelaki, manakala kaum ibu pula bertungkus-lumus memotong daging untuk diagih-agihkan, dan menyediakan jamuan untuk mereka yang terlibat dengan gotong-royong.
Kemudian, anak-anak remaja ditugaskan untuk mengagihkan daging korban kepada orang ramai.
Biarpun penat, tetapi hikmah daripada ibadah tersebut amatlah besar, terutama dalam mengeratkan hubungan silaturahim sesama masyarakat.
Pun begitu, Merak Jalanan diberitahu ada juga antara masyarakat dalam satu-satu kariah yang tidak gemar untuk melibatkan diri dalam kerja gotong-royong ini. Alasan diberikan ialah ‘malas’ atau ‘sudah ramai yang tolong’.
Disebabkan itu, berlakulah kes jawatankuasa surau mengalami kekangan tenaga kerja untuk menguruskan ibadah berkenaan.
Ada juga kes yang sudah mendaftar sebagai sukarelawan, tetapi ketika hendak mengerjakan ibadah korban, batang hidung pun tak nampak.
Nasihat Merak Jalanan, tak baiklah buat begitu. Sepatutnya sama-samalah menyumbang tenaga menjayakan ibadah berkenaan.
Ambillah peluang merasai kemeriahan Aidiladha dengan aktiviti setahun sekali ini.