'Bakar al-Quran bukan insiden kebiasaan Islamofobia'

Iklan
Provokasi melampau Salwan (kiri) dan Paludan yang mencemari kesucian al-Quran telah membangkitkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

JEDDAH - Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menggesa langkah kolektif untuk mengelakkan kejadian mencemari kesucian al-Quran kembali berulang pada masa depan.

Badan terdiri daripada 57 negara anggota itu membuat saranan tersebut ketika mesyuarat luar biasa di ibu pejabat OIC di Jeddah sebagai respons terhadap perbuatan biadab pelarian Iraq, Salwan Momika, 37, ketika sambutan Aidiladha pada minggu lalu.

Iklan
Iklan

"Kita perlu memberi mesej jelas bahawa tindakan provokasi sedemikian bukan insiden kebiasaan Islamofobia.

"Negara Islam perlu menghantar peringatan secara berterusan kepada komuniti antarabangsa berdasarkan undang-undang sedia ada yang secara terang-terangan melarang sebarang bentuk jenayah kebencian agama,” kata Setiausaha Agung, Hissein Brahim Taha.

Iklan

Hissein turut mengutuk tindakan melampau Salwan yang telah mencetuskan siri protes dan bantahan Muslim di seluruh dunia.

Difahamkan, beberapa pemerintah termasuk Iraq, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Maghribi memanggil Duta Sweden di negara masing-masing untuk menzahirkan protes terhadap perbuatan melampaui batas dan menyinggung perasaan orang Islam itu.

Iklan

Masyarakat antarabangsa berterusan mengecam pendirian Stockholm yang secara terbuka menerima pakai konsep kebebasan bersuara dan toleransi agama hingga mencetuskan sentimen Islamofobia yang dipamerkan secara terang-terangan oleh Salwan.

Seorang peserta protes menconteng grafiti di pintu masuk Kedutaan Sweden di Baghdad selepas kawasan itu diserbu masuk.

Ia merupakan kejadian kedua selepas tindakan biadab serupa pernah dilakukan pemimpin ‘ekstremis’ berhaluan kanan, Rasmus Paludan pada Januari lalu.

Kenyataan Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson dilihat hanya menyemarakkan lagi kemarahan Muslim selepas beliau berpendapat protes Salwan kononnya tidak melanggar undang-undang walaupun dianggap tidak wajar.

"Ia terpulang kepada polis untuk mengeluarkan permit atau tidak,” ujarnya.

Kira-kira dua hari selepas insiden menggemparkan itu, Salwan sekali lagi memaklumkan rancangan gila untuk mengulangi perbuatannya dalam masa 10 hari walaupun pihak berkuasa telah melancarkan siasatan terhadap kejadian pertama.

EU zahir bantahan

Kesatuan Eropah (EU) turut menyuarakan bantahan tegas terhadap perbuatan keterlaluan Salwan yang disifatkan sebagai tidak menghormati dan provokasi secara terang-terangan.

"Ia sama sekali tidak mencerminkan pendirian blok ini dari segi manifestasi rasisme, xenofobia dan sikap tidak bertoleransi yang tiada tempat di Eropah,” menurut EU dalam satu kenyataan.

Tegasnya lagi, ia sepatutnya tidak berlaku ketika umat Islam sedang meraikan hari istimewa.

"EU terus mempertahankan kebebasan agama atau bersuara di dalam atau luar negara. Sekarang adalah masa yang sesuai untuk bersama-sama mencapai kesefahaman dan menghormati antara satu sama lain untuk mengelakkan kejadian lebih buruk,” jelas kenyataan itu lagi.

Penunjuk perasaan di Jakarta menyertai protes mengutuk tindakan Salwan.

Blok itu menyatakan ia juga sedang mengikuti perkembangan insiden protes di Iraq apabila ribuan penunjuk perasaan berhimpun di hadapan Kedutaan Sweden di ibu kota pada Jumaat lalu untuk menuntut pemerintah memutuskan hubungan diplomatik dengan Stockholm.

Bantahan sama dizahirkan Rusia yang mendakwa tindakan mencemari kesucian al-Quran sebagai satu perbuatan jenayah di negara tersebut.

"Al-Quran ialah kitab suci orang Islam dan seharusnya dihormati semua pihak. Moscow sentiasa menghormatinya selaras dengan undang-undang negara ini,” ujar Presiden Vladimir Putin.

Selain Turkiye yang lantang mengutuk perbuatan Salwan, Iran juga antara negara Islam yang bertindak balas secara tegas terhadap insiden itu.

Teheran mengumumkan ia tidak akan menghantar duta baharu ke Stockholm, beberapa hari selepas ia memanggil diplomat Sweden untuk menzahirkan bantahan terhadap penghinaan melampau tersebut.

"Walaupun prosedur pentadbiran untuk melantik duta baharu ke Sweden telah tamat, proses penghantaran mereka akan tetap ditangguhkan kerana pemerintah Sweden sewenang-wenangnya mengeluarkan permit untuk mencemarkan al-Quran,” kata Menteri Luar Iran, Hossein Amirabdollahian menerusi Twitter. - Agensi