RAMALLAH - Pihak Berkuasa Palestin (PA) pada Isnin menyifatkan operasi ketenteraan Israel yang berterusan di bandar Jenin Tebing Barat sebagai 'jenayah perang baharu' terhadap rakyat Palestin, lapor Agensi Anadolu.
Sembilan rakyat Palestin terbunuh dalam serangan tentera Israel di Tebing Barat, termasuk tujuh di Jenin pada Isnin, manakala 27 lagi cedera, menurut Kementerian Kesihatan.
"Apa yang dilakukan oleh kerajaan Israel di bandar Jenin dan kemnya adalah jenayah perang baharu terhadap rakyat kita,” kata jurucakap PA Nabil Abu Rudeineh dalam satu kenyataan.
"Rakyat Palestin tidak akan menyerah atau mengibarkan bendera putih, tetapi akan tetap teguh mempertahankan tanah mereka dalam menghadapi pencerobohan kejam ini sehingga kebebasan dicapai,” katanya.
Jurucakap tentera Israel Daniel Hagari mendakwa operasi ketenteraan itu tertumpu kepada kem pelarian Jenin.
Menurut sumber, lebih 1,000 tentera terlibat dalam operasi Jenin.
Abu Rudeineh juga menyeru masyarakat antarabangsa untuk tidak berdiam diri dan mengambil tindakan serius memaksa Israel menghentikan pencerobohannya terhadap rakyat Palestin, dan memaksa mereka bertanggungjawab atas semua jenayah ini.
Kementerian Luar Palestin menyifatkan operasi Jenin sebagai 'pencerobohan biadab', dan mendakwa ia sebahagian daripada dasar rasmi Israel menggunakan kekuatan tentera sebagai alternatif penyelesaian konflik."
Kementerian itu menggesa masyarakat antarabangsa untuk menghentikan serta-merta pencerobohan, dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa mula bertindak dan meminta Israel bertanggungjawab terhadap jenayah perang, lapor Agensi Anadolu.
Ketegangan semakin memuncak di Tebing Barat sejak beberapa bulan kebelakangan ini di tengah-tengah serbuan Israel ke bandar-bandar Palestin.
Hampir 190 rakyat Palestin telah dibunuh oleh tentera Israel sejak awal tahun ini, menurut Kementerian Kesihatan. - Bernama/ Anadolu