KEMAMAN - Operasi hari ketiga mencari dan menyelamat (SAR) tiga lagi mangsa yang masih hilang dalam kejadian kepala air di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih dekat sini diteruskan pada 9 pagi Selasa.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azman Alias berkata, operasi itu melibatkan 170 anggota dari pelbagai agensi termasuk JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) selain turut dibantu orang awam.
"Jadi kita percaya baki mangsa tersangkut di kawasan-kawasan semak. Ini berikutan kejadian kepala air menyebabkan paras air ketinggian 10 kaki (3 meter) dan air itu meliputi tebing-tebing sungai," katanya kepada pemberita semasa sidang media di sini pada Selasa.
Sebelum ini, 10 individu dengan sembilan daripadanya sekeluarga berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang datang berkelah di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih pada Sabtu sebelum dihanyutkan arus deras kepala air.
Pada Isnin, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan mengesahkan enam mayat yang ditemukan adalah mangsa tragedi tersebut.
Mengulas lanjut, Azman berkata, pencarian masih di radius yang sama melibatkan tiga zon seluas kira-kira 35 kilometer persegi.
Beliau menambah sebanyak enam unit anjing pengesan K9 JBPM dan PDRM digunakan dalam operasi tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN:
Tragedi kepala air: Satu lagi mayat ditemukan
Dua lemas, lapan lagi masih hilang dihanyutkan kepala air
Ancaman kepala air, operasi SAR kesan 8 lagi mangsa dihentikan awal
Terkejut, tak percaya keluarga kakak terlibat tragedi kepala air
Tragedi kepala air: Identiti lapan individu dikenal pasti
Tragedi kepala air: Operasi SAR disambung kesan lapan lagi mangsa