BALING - Tragedi banjir aliran puing di Kampung Iboi yang menyebabkan tiga beranak terkorban pada petang Isnin, 4 Julai tahun lalu masih segar dalam ingatan rakyat Malaysia.
Mangsa, Ahmad Lateh, 73, mengakui biarpun sudah setahun tragedi itu berlaku, namun masih meninggalkan trauma dalam dirinya walaupun cuba melupakan peristiwa sedih itu.
Jelasnya, tanah di lokasi itu dahulunya subur dengan tanaman padi dan kebun buah-buahan selain terkenal dengan kecantikan aliran sungai serta panorama air terjun Lata Celak, kini bagaikan padang jarak padang terkukur.
Katanya, jambatan yang digunakan untuk menyeberangi sungai, runtuh termasuk rumahnya yang berada di kawasan tebing hanyut, hanya tinggal tanah lapang.
Ahmad berkata, usianya masih panjang kerana mujur ketika kejadian, dia bersama isteri tiada di rumah, jika sebaliknya mungkin mereka turut dihanyutkan arus deras seperti yang berlaku kepada jiran yang terkorban.
Dalam kejadian itu, mayat pesakit strok, Salmah Mat Akib, 53, dijumpai kira-kira jam 9.30 pagi Selasa, dalam keadaan berpelukan bersama menantu, Nurul Anis Abu Hassan, 23, di bawah timbunan pokok, dihanyutkan lebih kurang 100 meter dari tapak rumah mereka.
Seorang lagi terkorban, Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, (anak Salmah) ditemukan pada jam lebih kurang 11.55 pagi di bawah timbunan kayu, tidak jauh dari jasad ibu dan kakak iparnya ditemui.
Nurul Anis yang sedang hamil empat bulan, menetap di kampung untuk menemani ibu mertua sementara suaminya bekerja di Pulau Pinang.
Suami Salmah, Abd Rahman Said, 72, berkata, tragedi itu tidak mungkin akan dilupakan hingga akhir hayat.
Menceritakan kembali sebelum kejadian, kira-kira jam 4 petang, Nurul Anis ada menelefon memaklumkan air sungai semakin naik dan Abd Rahman memberitahu dalam perjalanan pulang.
Namun, banyak laluan terhalang disebabkan limpahan air dan sisa kayu, menyebabkannya sampai lewat.
Bagaimanapun, apabila tiba dia terkejut melihat jambatan sudah runtuh, begitu juga dengan rumahnya telah hanyut bersama ketiga-tiga mangsa.
"Jiwa rasa kosong setiap kali mengingati tragedi itu, namun sebagai umat Islam, kita percaya semua yang berlaku atas kekuasaan-Nya, hidup perlu diteruskan walau apa pun jadi," jelasnya.
Selain itu, Md Deris Jusoh, 64, berkata, hanya nyawa yang tinggal kerana kesemua harta benda termasuk rumahnya lenyap dibawa arus.
Begitu juga dengan tanaman pisang dan durian yang diusahakan dalam tempoh kira-kira 30 tahun tinggal di situ, semuanya hanya tinggal kenangan.
Bagaimanapun, Md Deris dan isteri bersyukur kerana tersenarai antara 12 penerima rumah di Kampung Keda Sadek, Kupang, yang jaraknya kira-kira enam kilometer dari lokasi tragedi Kampung Iboi dan baru berpindah seminggu lalu.
Kini, mereka tidak lagi bimbang rumah dinaiki air namun yang lebih dibimbangi ialah perlu membina semula kehidupan di tempat baharu.
Mangsa turut berharap agar kerajaan terus memberi perhatian dalam usaha membangunkan ekonomi terjejas selepas ladang dan kebun yang diusahakan penduduk, tanaman padi serta haiwan ternakan, musnah sekelip mata sehingga menyebabkan kerugian mencecah ratusan ribu ringgit.
Dalam pada itu, seramai 17 keluarga lagi yang dikategorikan dalam zon kuning di kawasan tragedi itu akan dipindahkan ke Kampung Bok Bak di sini sebaik sahaja rumah mereka siap kelak.