SHAH ALAM - Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin dalam masa beberapa tahun mendatang, rakyat akan tetap pertahan PH sebagai kerajaan di Malaysia.
Menurutnya, pimpinan PH harus melaksanakan pemerintahan yang bebas, telus dan bersih serta tidak mempamerkan kesombongan dan keangkuhan untuk merealisasikan hasrat itu.
Berucap dalam Persidangan DAP 2019 di sini, Anwar menegaskan jangan kerana desakan semasa, kejutan sebentar menyebabkan PH tersalah langkah dan melupakan manifesto kepada rakyat.
"PH harus mantap dan kuat, beri sokongan padu kepada Perdana Menteri untuk meneruskan agenda yang telah kita janjikan kepada rakyat.
"Saya dan rakan-rakan akan tentukan supaya apa yang kita janji dalam manifesto walaupun sebahagian telah dilaksana, sebahagian harus kita teliti dan laksanakan secara berperingkat.
"Tapi prinsip dasar tidak harus tergelincir. Kita kena pegang kepada prinsip ini. Kita telah diberikan mandat dan kita akan jaga, perjuangkan setiap rakyat di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan khas semasa menghadiri Persidangan DAP 2019 di sini tadi.
Turut hadir dalam persidangan tersebut adalah Pengerusi DAP Kebangsaan, Tan Kok Wai; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya.
Tambah Ahli Parlimen Port Dickson itu, tiada negara dalam dunia tidak menghadapi masalah apabila melakukan transisi daripada sistem lapuk yang korup kepada sistem demokrasi baharu.
"Mana-mana negara, bila berlaku proses transisi, ia memang mengalami masalah. Tiada negara yang mengalami transisi dapat melakukan perubahan dengan mudah, tidak di Poland, tidak di Ukraine.
"Lebih baik kerajaan PH mengakui masalah ini dan cuba selesaikan dengan baik dan bijaksana,” tegasnya.
Tambahya, mengubah dasar yang diterima rakyat selama lebih setengah abad bukanlah tugas mudah namun PH harus yakin mampu melaksanakannya.
Sementara itu, Anwar menggesa golongan elit dan cerdik pandai perlu melakar dasar yang mewakili semua, tidak meminggirkan mana-mana pihak.
"Jangan melakar dasar yang memikirkan kita mewakili semua tetapi lupa bahawa pekebun-pekebun kecil, golongan miskin pekerja estet masih memerlukan pembelaan,” tegasnya.