KUALA PILAH - Bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Eddin Syazlee Shith menyerahkan kepada pucuk pimpinan Perikatan Nasional (PN) untuk memutuskan sama ada dipilih menjadi calon atau tidak dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
Eddin Syazlee berkata, sebagai orang parti beliau menerima arahan daripada parti itu malah sentiasa memberikan sokongan supaya PN berjaya memenangi PRN ini.
"Bertanding ini ditentukan pucuk pimpinan tidak kira siapa pun. Sekarang ini PN negeri dipimpin oleh Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, kalau diminta saya bertanding, saya akan mempertimbangkanlah.
"Kita terima arahan sahaja, jadi kalau dia (parti) kata berehat saya pertimbangkan untuk berehat, tetapi jika tidak menjadi wakil rakyat pun... kita tetap bersahabat boleh minum sama-sama," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, ketika ditanya sekiranya diberi peluang untuk bertanding, Eddin Syazlee berkata, lebih selesa untuk bertanding di kawasan yang memiliki majoriti pengundi Melayu seperti di Kuala Pilah.
"Saya yakin dengan persediaan yang dibuat parti di bawah pimpinan baharu. Malah, saya tidak pernah simpan perasaan tidak puas hati ataupun berniat untuk mencemarkan nama baik parti. Sebagai ahli biasa saya akan turun berkempen dan membantu parti mengikut kesesuaian waktu," katanya.
Eddin Syazlee sebelum ini mewakili PN bertanding bagi kerusi Parlimen Kuala Pilah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun tewas dengan memperoleh 11,560 undi.
Kerusi berkenaan dimenangi oleh Barisan Nasional (BN), Datuk Adnan Abu Hassan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senaling dengan majoriti 6,483 undi setelah memperoleh 21,243 undi.
Selain Eddin Syazlee, calon lain ialah Pakatan Harapan (PH), Nor Azman Mohamad (14,940), Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Kamarulzaman Kamdias (406) dan wakil Parti Warisan, Datuk Azman Idris (333).