Dalam usaha menangani peningkatan kos sara hidup, Kerajaan Perpaduan telah memperkenalkan inisiatif Payung Rahmah untuk membantu golongan miskin dan kurang mampu.
Payung Rahmah di bawah inisiatif Belanjawan 2023 bertujuan memberi pelbagai manfaat untuk meringankan beban dan kos sara hidup rakyat yang kurang berkemampuan.
Kebajikan golongan B40 menjadi agenda utama Payung Rahmah menerusi tiga program khas iaitu Menu Rahmah, Jualan Rahmah dan Bakul Rahmah yang dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Payung Rahmah merupakan manifestasi keprihatinan dan konsep kasih sayang kerajaan kepada rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dengan kerjasama rakan strategik yang terlibat.
Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, pihaknya tidak menghadkan tempoh jualan Menu Rahmah malah akan dilaksanakan selagi ada permintaan.
Katanya, walaupun pelbagai persepsi timbul, Presma mengamalkan konsep budi bicara ahli-ahli dalam menyediakan Menu Rahmah bagi menzahirkan niat mereka untuk melakukan amal jariah.
"Kita perlu faham dalam konteks Menu Rahmah tiada sebarang unsur paksaan. Peniaga juga tidak mengharapkan sebarang insentif tetapi kalau kerajaan boleh bantu peniaga, mungkin program ini boleh bertahan lebih lama.
"Jangan cakap soal untung rugi, kita harap dapat pulangan akhirat dan apa yang kita buat ini akan menambah rezeki, seperti mungkin lebih ramai pelanggan akan datang.
"Kami hanya menyahut seruan kerajaan agar dapat membantu lebih ramai yang terkesan dan yang memerlukan makanan dengan harga lebih murah,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Jawahar Ali, biasanya permintaan Menu Rahmah akan meningkat daripada 70 pek kepada 100 pek sehari apabila tiba minggu ketiga dan keempat setiap bulan.
Katanya, peningkatan jumlah itu memberi makna masih ramai yang memerlukan Menu Rahmah untuk berjimat.
"Tidak dinafikan pada minggu pertama dan kedua lepas gaji, Menu Rahmah memang kurang mendapat sambutan tetapi akan meningkat pada hujung bulan. Mungkin orang mula berjimat.
"Lagipun menu yang ditawarkan tiada beza, kualiti semuanya sama. Persepsi yang mengatakan kuantiti atau saiz Menu Rahmah dikurangkan tidak wujud, tiada pula ayam dipotong 16 menjadi sekecil anak ayam,’’ tegasnya.
Pelanggan puas hati
Pemilik gerai Selera Kampung, Ishak Yahaya Qin, 48, bersyukur kebanyakan pelanggan berpuas hati dengan hidangan Menu Rahmah yang ditawarkan.
Jelasnya, rata-rata pelanggan menyifatkan hidangan berkenaan mempunyai kualiti sama seperti menu berharga lebih RM10.
"Kami selalu menyediakan hidangan lengkap seperti set ikan keli bersama sayur namun kadangkala tukar kepada sardin atau ayam.
"Menu Rahmah ini antara yang dicari orang ramai lebih-lebih lagi ketika bulan Ramadan apabila lebih 100 makanan tersebut terjual setiap hari ketika itu. Walaupun harga RM5, pihak kami tetap menjaga kualiti rasa,” katanya yang turut akan mengekalkan Menu Rahmah selagi ada permintaan.
Jelasnya, meskipun keuntungan diraih agak sedikit tetapi beliau mahu menyahut seruan untuk sama-sama meringankan beban masyarakat susulan keadaan ekonomi tidak menentu.
Inisiatif Menu Rahmah yang dilaksanakan kini masih mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai terutamanya pada hujung bulan.
Layari www.belanjawan.mof.gov.my/manfaat untuk mengetahui lebih lanjut pelbagai inisiatif yang diperkenalkan dan meneroka lebih banyak peluang yang ditawarkan kerajaan kepada rakyat.
#Belanjawan 2023
#BelanjawanMADANI
INISIATIF PAYUNG RAHMAH
Mengurangkan kos sara hidup golongan berpendapatan rendah dan miskin tegar merangkumi:
MENU RAHMAH:
Menawarkan set makan tengah hari dan makan malam pada harga RM5 sahaja.
REAKSI PELANGGAN
"Harganya murah, memang berbaloi kerana kita boleh pilih ayam atau ikan bersama dengan sayur. Memang membantu dalam keadaan ekonomi sekarang.” - Pemandu lori, Awang Sabtu Sule, 45.
"Pada saya ini berbaloi kerana kuantiti pun banyak. Sepinggan nasi dengan ikan bersama sayur hanya perlu bayar RM5 sahaja.” - Suri Rumah, Nabilla Kabiman, 31.
"Menu Rahmah ini bagus dan sesuai dengan masa sekarang. Cubalah Menu Rahmah di medan selera Mydin Subang Jaya, ikan, nasi dan sayur cuma RM5.”- Pekerja swasta, Nor Aziziah Nor Khalid, 32.
"Satu usaha yang baik kerana harga makanan tanpa inisiatif ini biasanya peniaga caj mahal. Mungkin boleh mencecah RM15 untk ayam, ikan dan sayur.” - Pekerja swasta, Muhammad Baihaki 29.
"Kualiti Menu Rahmah tidak dinafikan sedap tetapi saya sarankan pekedai beri kuantiti lebih sedikit. Secara keseluruhan berbaloi dan mengenyangkan." - Suri rumah, Rohaida Nordin, 44.