KEMAMAN -"Adik sanggup ikat perut untuk kumpul duit demi melangsungkan perkahwinan pada hujung tahun ini,'" kongsi Shahrizal Saliman, 40, abang kepada Muhammad Fikri Saliman, 24, yang lemas di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih, di sini, pada Ahad.
Dengan nada sebak, Shahrizal menyatakan Muhammad Fikri merupakan adik bongsu dalam keluarga selepas pemergian ibu bapa mereka, sekali gus kehilangannya sangat memberi kesan mendalam kepada mereka sekeluarga.
Menurutnya, Muhammad Fikri yang tinggal bersamanya di Batu Pahat, Johor, selepas kehilangan ibu mereka Zaiton Rasib, 63, yang meninggal dunia akibat keuzuran pada tahun lepas manakala kematian ayah mereka, Saliman Jonet pada 2005.
"Dia langsungkan pertunangan dengan Putri Balqis Izzati pada Februari lepas. Sepatutnya tunang selama dua tahun tapi adik saya nak cepat langsungkan perkahwinan, kalau boleh nak kahwin pada bulan Disember nanti.
"Jadi dia sudah mula menyimpan duit buat persiapan untuk majlis. Saya cakap pada dia kalau tak boleh adakan hujung tahun ini boleh tunda ke tahun depan dan tak perlu tergesa-gesa tetapi adik maklum pada kami tak nak tunang lama-lama selain tetap mahu adakan majlis.
"Adik kerja di kedai makan dan dia gigih mencari duit untuk buat persiapan perkahwinan. Sememangnya dia seorang adik yang rajin dan sanggup ikat perut semata-mata nak kumpul duit adakan majlis kahwin," katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.
ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi kepala air: Mayat ketujuh ditemukan
Tragedi kepala air: Operasi SAR disambung cari 3 lagi mangsa
Dua lemas, lapan lagi masih hilang dihanyutkan kepala air
Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa dengan adiknya pada pagi Hari Raya Aidiladha lalu sebelum Muhammad Fikri bertolak ke rumah keluarga tunangnya, Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, di Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang.
"Saya jumpa dia pagi raya sebelum dia gerak ke rumah keluarga tunang. Dia tak ada menunjukkan apa-apa perubahan.
"Dia tetap adik bongsu saya yang periang dan beritahu pada saya tahun ini nak beraya di sebelah rumah keluarga perempuan, jadi saya kata 'ok' dan benarkan," ujarnya.
Shahrizal berkata, dia hanya mengetahui kejadian berkenaan yang membabitkan Muhammad Fikri dan keluarga tunangnya itu melalui sepupu mereka.
ARTIKEL BERKAITAN: Terkejut, tak percaya keluarga kakak terlibat tragedi kepala air
Tragedi kepala air: Identiti lapan individu dikenal pasti
"Lepas beraya bersama kami dia bergerak ke Lepar, dan tiada apa nak risau sebab sudah biasa adik berulang alik antara Batu Pahat ke Lepar.
"Saya memang sangat terkejut mendengar berita tersebut. Sebab dia tak ada beritahu dia mahu pergi Terengganu untuk berkelah mungkin itu perancangan saat-saat akhir keluarga sebelah perempuan.
Bagaimanapun, Shahrizal tetap menaruh harapan supaya dapat menemui adiknya sama ada masih hidup atau sebaliknya.
"Saya masih berharap dia masih ada (hidup) kerana kuasa ALLAH menentukan segala-segalanya.
"Kalau jumpa antara hidup dan mati biarlah saya jumpa jasadnya, saya reda," katanya sambil menitiskan air mata.
Sebelum ini, 10 individu dengan sembilan daripadanya sekeluarga berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang datang berkelah di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih pada Sabtu sebelum dihanyutkan arus deras kepala air.
Muhammad Fikri merupakan antara 10 mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih, di sini termasuk Puteri Balqis Izzati dan lapan lagi ahli keluarganya ketika mereka berkelah di situ pada Sabtu.
Pada Selasa, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan memaklumkan seramai tujuh mangsa disahkan identiti setakat ini termasuk penemuan dua mayat, Azizah Eiyi, 40, dan anaknya Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, daripada orang awam pada jam 12.30 tengah hari Ahad.
ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi kepala air: Mayat ketujuh disahkan Putri Balqis Izzati
Ancaman kepala air, operasi SAR kesan 8 lagi mangsa dihentikan awal
Tragedi kepala air: Operasi SAR disambung kesan lapan lagi mangsa