PELAWAK dan penyampai radio, Shuib menyifatkan tuduhan dia 'membunuh' Allahyarham Siti Sarah dengan memaksa arwah isterinya untuk ditidurkan sebagai melampau.
Jelas Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad, dia pada awalnya tidak mengambil pusing tuduhan menjadi ahli Freemason, namun tidak dapat menerima apabila didakwa sanggup 'mengorbankan' isterinya.
"Apabila orang tuduh saya sebagai ahli Freemason, saya rasa bodoh sangat (kenyataan itu) dan tuduhan yang tidak berasas. Jadi pada awalnya saya abaikan sahaja.
"Apa yang menjadi penyebab saya bersuara bila mereka libatkan nama arwah Siti Sarah. Tuduhan ini melampau! Tentulah saya marah, sebab orang yang saya sayang tak ada dan nampak macam saya yang membunuh isteri saya.
"Saya tahu perjalanan isteri saya sebelum masuk hospital sampailah saya lihat dia dalam beg plastik mayat," katanya ketika ditemui pada sidang media di Bubble Bee Bandar Sri Permaisuri pada Selasa.
Tambah usahawan popular itu, dia memilih untuk tidak memanjang tuduhan yang dibuat Zulhairi Abu Osman, 35, kerana lelaki itu berani untuk bercakap dengannya termasuk bertemu empat mata pada Selasa.
"Awak berani angkat telefon, berani datang hari ini, kira awak gentle lah," ujarnya sambil bersalaman dengan lelaki yang sebelum ini meninggalkan komen di Facebook mengenai Freemason dan Siti Sarah.
Zulhairi sebelum ini meninggalkan kenyataan pada satu ruangan komen bertulis:"tak sangka eh bekas mat kilang"Ahli F" (merujuk kepada Ahli Freemason) jugak... Pasal arwah SS (Siti Sarah) pun kita tahu dia dipaksa untuk ditidurkan sebab mamat ini nak buktikan pada ibu-ibu mengandung di luar sana yang kalau kau tak cucuk vaks (vaksin), kau berisiko tinggi untuk mati... dan benda itu viral dan berduyun-duyun ibu mengandung yang pergi cucuk. F gunakan artis yang duduk di bawah mereka untuk promosi vaksin, tak boleh ingkar waima ada ahli keluarga sendiri yang perlu dijadikan korban".
Sementara itu, bapa kepada empat orang cahaya mata itu mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang lagi individu yang menggunakan nama ‘John Dihani’.
Ujarnya, dia sendiri mengetahui nama, alamat serta nombor telefon individu berkenaan yang dilihat bersikap biadab dengan fitnah yang melampau.
"Saya sudah minta peguam saya untuk hantar satu surat kepadanya, rasanya dia pun dah terima surat itu.
"Dalam mesej yang dihantar, dia ada cakap nak jumpa saya, tetapi saya rasa nak jumpa dia di mahkamah sahaja,” ujarnya.
Shuib berkata, tindakan undang-undang yang mahu diambil adalah sebagai pengajaran agar perkara yang sama tidak lagi berulang lagi dan netizen tidak akan meninggalkan komen sewenang-wenangnya kepada selebriti lain.