CHUKAI - Jeram Air Putih disifatkan sebagai lokasi kurang sesuai untuk orang ramai beriadah, apatah lagi untuk berkhemah dan bermalam di situ.
Hal ini diakui penduduk Kampung Air Putih, Abdul Ghani Wan Ishak, 60, yang memberitahu jeram itu biasanya hanya dikunjungi penduduk kampung bagi memancing atau menangkap ikan.
"Jeram tu memang selalu orang pergi, tapi kurang sesuai untuk bermalam dan orang tempatan yang pergi ke jeram tu pun hanyalah untuk tempoh yang singkat.
"Nak kata bahaya tu tidaklah bahaya... cuma jaranglah orang kampung bermalam di sana. Mereka hanya masuk sekejap-sekejap sahaja untuk tangkap ikan, kalau nak bermalam di sana pun, mereka akan pacak khemah jauh dari sungai," katanya ketika ditemui Bernama hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi kepala air: Mayat ketujuh disahkan Putri Balqis Izzati
Tragedi kepala air: Mayat ketujuh ditemukan
Tragedi kepala air: Operasi SAR disambung cari 3 lagi mangsa
Selain itu, katanya kebanyakan penduduk kampung juga sudah arif dengan kawasan tersebut serta boleh mengesan petanda awal berlaku kepala air.
"Sekiranya ada tanda-tanda tersebut (kepala air) mereka akan segera keluar. Orang luar mungkin tidak begitu peka akan keadaan itu," katanya.
Menurut Abdul Ghani, pada awal tahun ini satu kes lemas dilaporkan berlaku di jeram yang sama melibatkan orang dari luar kampung tersebut iaitu seorang remaja lelaki mandi-manda bersama rakan-rakannya.
Abdul Ghani yang juga pengusaha inap desa di kampung itu berkata, tragedi baru-baru ini memberi peringatan kepadanya supaya lebih peka dan sentiasa menasihatkan pengunjung agar berwaspada dengan risiko di sekitar jeram itu.
Mengimbas situasi pada Sabtu lepas, Abdul Ghani berkata, hujan sangat lebat selepas waktu maghrib sehingga menenggelamkan jambatan di kampung itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Dua lemas, lapan lagi masih hilang dihanyutkan kepala air
Ancaman kepala air, operasi SAR kesan 8 lagi mangsa dihentikan awal
Katanya pada awal pagi Ahad, penduduk kampung digemparkan dengan penemuan mayat wanita terapung di Kampung Laut, diikuti penemuan mayat kanak-kanak lelaki tersangkut pada dahan pokok di sungai kampung berkenaan.
"Tidak lama kemudian barulah kami tahu kejadian sebenar selepas melihat banyak pasukan penyelamat keluar masuk dan laporan berita.
"Saya mengikuti rapat perkembangan operasi mencari dan menyelamat kes ini. Saya benar-benar berharap kesemua mangsa yang hilang dapat ditemukan hari ini, dengan izin ALLAH," katanya.
Pada Ahad, 10 individu termasuk sembilan sekeluarga yang dilaporkan berkelah di Jeram Air Putih pada petang Sabtu, hilang selepas dihanyutkan kepala air di kawasan itu.
Setakat pagi tadi, tujuh mayat telah ditemukan dan dikenal pasti identitinya iaitu Karim Abdullah, 39; Azizah Eiyi, 40; Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11; Putri Nurerina Natasya; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6; Putri Aryana Umaira Karim, 4; dan Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18.
Mangsa yang masih hilang ialah Putri Alleya Maisarah Karim, 16, Putri Nor Fatin Karim, 14, dan Muhammad Fikri Saliman, 24, dari Batu Pahat, Johor yang merupakan tunang kepada Putri Balqis Izzati. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Terkejut, tak percaya keluarga kakak terlibat tragedi kepala air
Tragedi kepala air: Identiti lapan individu dikenal pasti
Tragedi kepala air: Operasi SAR disambung kesan lapan lagi mangsa