ALOR SETAR - Pemuda UMNO menyasarkan 30 peratus daripada calon yang dikemukakan oleh UMNO dalam pilihan raya negeri (PRN) nanti adalah daripada orang muda.
Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, bagaimanapun calon berkenaan haruslah realistik dan boleh diterima rakyat.
Sehubungan itu katanya, Pemuda UMNO mengadakan jelajah ke setiap negeri PRN untuk melihat aspirasi rakyat dan calon yang mereka kehendaki.
"Kita sasar mestilah sekurang-kurangnya 30 peratus daripada calon yang dikemukakan oleh UMNO dalam PRN nanti adalah calon-calon muka baharu ataupun calon-calon daripada pemuda.
"Tapi kita nak tengok juga apa sentimen rakyat, ada di kawasan-kawasan tertentu pemimpin muda ini tak boleh lagi, maka kita akan kemukakan pemimpin yang lebih senior, ada pula kawasan yang mahukan pemimpin muda," katanya ketika ditemui selepas sarapan pagi bersama penduduk di Kampung Panchor, Pokok Sena di sini pada Selasa.
Menurutnya, bagi calon di Kedah, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
"Insya-ALLAH dalam minggu ni kita akan jumpa Tok Det (Mahdzir) untuk kemukakan hasil jelajah dan adakah perbincangan.
"Saya rasa di Kedah ini akan ada calon-calon daripada ketua pemuda dan orang muda terutamanya," katanya.
Muhamad Akmal menambah, penerimaan di lain-lain negeri termasuk Selangor dan Negeri Sembilan juga memberangsangkan malah beliau telah membuat perbincangan bersama pengerusi UMNO negeri masing-masing.