SHAH ALAM - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki kesal dengan tindakan pihak tertentu yang memfitnahnya susulan rakaman video lama yang ditularkan baru-baru ini.
Beliau berkata, video tersebut dirakam ketika berucap sebagai Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) pada era reformasi tahun 1998 hingga 2001.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) itu menjelaskan, beliau berucap sebagai wakil mahasiswa dalam Majlis Pelancaran Gerakan Mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) bersama Presiden Pas ketika itu, Allahyarham Datuk Fadzil Noor yang turut melaungkan reformasi.
"Walaupun ayah saya waktu itu adalah Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, saya berbeza pandangan dengan beliau waktu itu selaku anak muda dan pemimpin mahasiswa yang lantang mengkritik Tun Mahathir dan terlibat langsung dalam siri-siri demonstrasi jalanan.
"Sebab itulah saya bersikap terbuka dan amat meraikan sifat kritis, 'anti-establishment' anak muda terutamanya mahasiswa yang seharusnya punya idealisme, harapan dan semangat untuk melihat negara yang lebih baik, adil, sejahtera dan saksama,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Selasa.
Dalam pada itu, bekas Ketua Pemuda UMNO itu berkata, beliau tidak terlibat dengan mana-mana parti politik sewaktu memimpin mahasiswa ketika itu.
Beliau menegaskan, mahasiswa perlu kekal sebagai ‘non-partisan’ yang boleh bersetuju dan tidak bersetuju, menyokong mahupun mengkritik sesiapa sahaja berteraskan ilmu dan idealisme tanpa mengikat diri dengan mana-mana parti.
"Selepas tiga tahun kembali dari luar negara dan menamatkan pengajian PhD (Ijazah Kedoktoran) di UK (United Kingdom) pada 2008, saya dipelawa Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk terlibat aktif dalam UMNO dan masih setia dengan UMNO sehingga hari ini.
"Saya masih yakin UMNO adalah satu-satunya parti yang mampu dan boleh mempertahankan agenda Islam dan kepentingan Melayu-Bumiputera.
"Cumanya sebagai parti lama yang tidak maksum, segala kepincangan, kesilapan dan kelemahan lampau wajib diperbaiki demi sebuah perjuangan yang diberkati dan dirahmati," ujarnya.