Prosiding rayuan kes solar Rosmah ditangguh Jumaat ini

Iklan
Rosmah

PUTRAJAYA - Datin Seri Rosmah Mansor memohon supaya prosiding rayuan bagi mengetepikan sabitan kes rasuah dan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta berhubung kes projek hibrid solarnya, di Mahkamah Rayuan di sini, ditangguhkan.

Perkara berkenaan disahkan oleh peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili isteri bekas Perdana Menteri itu dengan menyatakan bahawa, ia adalah berdasarkan surat yang dihantar kepada mahkamah sebelum ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penangguhan dibuat kerana pihaknya berharap rayuan berhubung pelantikan mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan diputuskan Mahkamah Persekutuan terlebih dahulu.

Susulan itu, mahkamah menetapkan, prosiding pendengaran permohonan tersebut dibuat pada Jumaat ini.

Iklan

Dalam prosiding terdahulu, mahkamah menetapkan 11 Julai untuk mendengar rayuan berkenaan, yang berlangsung selama empat hari.

"Semua pihak sudah memfailkan hujahan masing-masing dan tarikh pendengaran kelak, hanya akan ditentukan pada hari sebutan berkenaan.

Iklan

"Buat masa ini, tarikh pendengaran rayuan masih ditetapkan pada 12 Julai ini,” katanya ketika dihubungi media pada Selasa.

Pada 21 Jun lalu, isteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu gagal memulakan semakan kehakiman bagi mencabar pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kes rasuah projek solar selepas rayuannya ditolak selepas Mahkamah Rayuan mendapati rayuan berkenaan tiada merit.

Pada 1 September 2022, Rosmah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Mahkamah menjatuhi Rosmah, hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan dan denda RM970 juta.

Bagaimanapun, Hakim Mohamed Zaini Mazlan memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak.

Rosmah dibenarkan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman hingga rayuannya selesai.

Bagi pertuduhan pertama, Rosmah didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta, yang dibuat melalui bekas pembantu peribadinya, Datuk Rizal Mansor, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Rosmah, 72, didakwa melakukan perbuatan itu di Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini antara Mac dan April 2016.

Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jejak Holdings mendapatkan projek itu di kediamannya di Jalan‬ ‪Langgak‬ ‪Duta,‬ ‪Taman‬ ‪Duta‬, pada 7 September 2017.‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬

Dia turut berdepan tuduhan menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek serupa pada 20 Disember 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.