KUANTAN - Pahang menyasarkan pertumbuhan ekonomi di Wilayah Pahang Barat Plus berjaya diunjurkan sepenuhnya dalam tempoh lima tahun lagi.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pertumbuhan ekonomi bagi daerah-daerah di sebelah Pahang Barat telah dirancang untuk pelaksanaannya.
"Jadi, kita (kerajaan) yakin Pahang Barat Plus adalah platform yang ideal untuk mempercepatkan pembangunan di sebelah barat negeri itu. Wilayah ini akan mencapai potensi penuhnya dalam tempoh empat hingga lima tahun lagi atau mungkin tiga tahun paling cepat. Kemajuan (untuk membangun) berterusan dan kita tidak pernah memperlahankannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akbar selepas merasmikan pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-15 Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Pelancaran Invest@ECER di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC) pada Selasa.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Operasi ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Zulkifli Yaakob, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak dan Exco Pelaburan, Pembangunan Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy menjelaskan kerajaan Pahang tidak akan mengetepikan Pahang Barat Plus, sebaliknya berusaha untuk memastikan pembangunan seimbang antara sebelah timur dan barat negeri itu.
"Kita ada kawasan perindustrian di sebelah barat Pahang, contohnya di Kechau Tui, Lipis, kelulusan telah diberikan untuk membina kilang peluru dan tanah telah diluluskan tetapi memerlukan masa (untuk membina kilang).
"Selain itu, terdapat juga projek ternakan lembu dan ayam Wagyu berskala tinggi untuk daging serta produk tenusu di Lipis akan disegerakan," jelasnya beliau lagi.
Ditanya mengenai pelaburan komited berjaya dibawa masuk melalui kerjasama ECERDC di Pahang, Wan Rosdy menjelaskan sebanyak RM93 bilion telah dibawa masuk dalam tempoh 15 tahun dan kolaborasi dengan ECERDC perlu diteruskan bagi menarik lebih banyak pelaburan swasta ke negeri ini.
"Saya berbangga dengan pencapaian dan sumbangan ECERDC dalam memangkin pertumbuhan sosio-ekonomi dan taraf hidup rakyat termasuk menerusi program latihan bimbingan akademik dan keusahawanan yang diberikan kepada rakyat negeri ini.
"Daripada 120,000 peserta seluruh ECER, lebih 57,000 peserta merupakan rakyat Pahang yang telah mendapat manfaat daripada program pembangunan ECERDC,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Rosdy meminta agar ECERDC meneruskan usaha membawa masuk pelaburan berkualiti tinggi, membangunkan usahawan tempatan dan melatih tenaga kerja mahir bagi memenuhi permintaan pelabur.
"Sejak penubuhan ECERDC 15 tahun lalu, Pahang merupakan antara negeri di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang telah menerima banyak manfaat.
"Saya dan barisan kepimpinan Kerajaan Pahang telah menyaksikan banyak kejayaan dalam aspek pembangunan infrastruktur dan logistik, penggalakan pelaburan dan pemerkasaan modal insan," ujarnya.