SEREMBAN - Peningkatan kos sara hidup ketika ini turut memberi kesan kepada rumah-rumah kebajikan dalam mengurus kehidupan harian penghuninya.
Pengasas Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Walidaina Mohd Zatullah Kamarudin berkata, dia perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya RM25,000 setiap bulan untuk kos operasi rumah kebajikan berkenaan yang menempatkan seramai 23 penghuni.
"Sekarang kos bahan mentah mahal sangat. Kalau dulu RM300 kami boleh beli makanan untuk dua hari, tapi sekarang memang tak dapatlah, ditambah pula dengan keadaan harga barang yang tak menentu di pasaran.
"Saya rasa keadaan peningkatan kos ini sangat terasa dalam tempoh enam bulan ini dan itu belum lagi bil elektrik yang jika dulu RM500 sebulan, sekarang naik sehingga RM800," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Bagaimanapun kata Zatullah, ia sebenarnya masih belum mencukupi ditambah pula dalam keadaan penyumbang yang semakin berkurangan.
"Sumber kewangan yang kami ada cukup-cukup saja kerana penyumbang tak macam dulu. Mungkin ramai terpaksa hadkan kewangan mereka.
"Tapi selagi mampu saya akan berusaha cari sumber kewangan lain dan akan pastikan anak-anak kami diberi makan dan pakaian yang cukup kerana bagi saya ini satu amanah," katanya.
Namun dia tidak menafikan terselit rasa bimbang dengan masa depan rumah kebajikan berkenaan sekiranya suatu hari nanti tidak lagi mampu meneruskan operasi kerana kekurangan sumber kewangan.
Keadaan sama turut diakui oleh Pengerusi Pusat Jagaan Pertubuhan Anak Yatim Al Khair, Abd Rahman Musa yang terpaksa mengehadkan jumlah penghuni bagi mengurangkan kos.
"Kami ada 20 penghuni. Kalau dulu RM500 itu boleh beli untuk lima hari makan, tapi sekarang RM500 itu hanya untuk tiga hari.
"Memang tak tahan betul dengan harga barang mentah sekarang. Kalau barang kering seperti beras, gula dan susu itu tiada masalah sangat kerana ada sumbangan," katanya.
Tambahnya, ada kalanya dia terpaksa meminta ihsan rakan-rakan terdekat bagi membantu namun memahami ia tidak boleh selalu.
Ujarnya, keadaan penyumbang yang semakin berkurangan dari tahun ke tahun sejak pandemik Covid-19 turut menjadi faktor sumber kewangan yang ada semakin berkurangan.
"Sebenarnya ihsan orang ramai yang banyak membantu operasi rumah anak-anak yatim ini, tapi keadaannya tak sama macam dulu.
"Saya risau jika harga barang terus naik dengan keadaan duit yang kami ada semakin susut," katanya.