DUN Perlis, Terengganu, Sabah paling kurang demokrasi

Iklan
Kedudukan Liga Demokrasi Malaysia 2023 diperoleh hasil pemantauan terhadap demokrasi Parlimen dan DUN di negara ini dalam tempoh beberapa bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.

PETALING JAYA - Liga Demokrasi Malaysia 2023 yang dilancarkan CSO Platform for Reform pada Selasa menyaksikan Perlis, Terengganu dan Sabah menjadi negeri yang mempunyai Dewan Undangan Negeri (DUN) paling kurang demokrasi di negara ini.

Ahli Jawatankuasa Pemandu Sekretariat CSO Platform for Reform (Pembaharuan Parlimen & DUN), Tharma Pillai berkata, hasil pemantauan demokrasi Malaysia bagi Parlimen dan DUN yang dilakukan pihaknya mendapati tiga negeri itu berada di tiga tangga terbawah daripada kesemua 13 negeri.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Perlis hanya merekodkan markah 34 peratus bagi 14 parameter pendemokrasian Parlimen dan DUN yang ditetapkan sementara Terengganu (37 peratus) dan Sabah (40 peratus).

"Ini boleh dilihat apabila ketiga-tiga negeri ini telah melantik Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang daripada Blok Kerajaan, melaksanakan pembahagian peruntukan pembangunan kawasan secara tidak adil dan lain-lain," katanya pada sidang akhbar pada Selasa.

Iklan
Tharma (dua dari kiri), Kok Hin (kiri) dan Mohamad Tazrin (dua dari kanan) menunjukkan keputusan tinjauan demokrasi Malaysia yang dilakukan CSO Platform for Reform dalam sidang akhbar di Petaling Jaya pada Selasa.

Turut hadir Pengarah Eksekutif Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Ooi Kok Hin dan Koordinator Pembaharuan Parlimen dan DUN CSO Platform for Reform, Mohamad Tazrin Mohamad Taijo.

Tharma menjelaskan, dapatan daripada inisiatif itu turut menyaksikan Selangor unggul sebagai DUN paling demokrasi dengan pencapaian 69 peratus diikuti Perak (60 peratus) dan Negeri Sembilan (54 peratus).

Iklan

Beliau berkata, DUN Selangor telah memperlihatkan prestasi memberangsangkan apabila berjaya memenuhi parameter-parameter yang telah ditetapkan malah menjadi peneraju di beberapa parameter utama.

"Ia seperti pelaksanaan pembahagian peruntukan pembangunan kawasan yang adil dan turut merupakan DUN yang paling lama bersidang bagi satu penggal dengan 22 hari berbanding dengan persidangan DUN yang lain," ujarnya.

Mengulas lanjut, Tharma berkata, 14 parameter yang telah ditetapkan oleh pihaknya turut menjadi tuntutan utama mereka dalam reformasi Parlimen dan DUN.

Tegasnya, parameter tersebut adalah Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) 2, pelaksanaan mesyuarat PAC secara terbuka, pengerusi PAC dari pembangkang, jumlah Jawatankuasa Pilihan Khas (SSC), Sesi Soalan Perdana Menteri/ Menteri Besar/Premier Sarawak, Akta Anti Lompat Parti dan pengenalan kabinet bayangan.

Parameter seterusnya adalah dari segi kewujudan jawatankuasa tetap, pemilihan speaker dan timbalan speaker, tempoh persidangan Parlimen dan DUN, pengiktirafan ketua pembangkang, peratus ahli Parlimen atau Ahli DUN (ADUN) bukan dalam kabinet, pelaksanaan calon 18 tahun dan pembahagian peruntukan pembangunan kawasan yang adil.

Tharma memberitahu, pemantauan yang dibuat juga mendapati landskap politik Malaysia hakikatnya tidak sama apabila setiap DUN tidak melaksanakan agenda reformasi yang sama.

Katanya, situasi itu seterusnya memperlihatkan pendemokrasian itu tidak bergerak seiring seperti pengenalan Akta Anti Lompat Parti yang masih lagi menyepi di beberapa buah negeri walaupun telah diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada tahun lalu.

"Oleh itu, CSO Platform for Reform berharap untuk enam negeri yang akan menghadapi pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi, markah dan petunjuk yang kami tunjukkan kepada anda hari ini akan dipertimbangkan dengan serius oleh parti politik dan calon mereka yang bertanding pada PRN kali ini.

"Di negeri-negeri di mana prestasi atau penunjuk berada di bawah par, anda semua boleh memasukkan pembaharuan ini ke dalam manifesto masing-masing dan diketengahkan sebagai tawaran untuk badan perundangan negeri yang lebih progresif, demokratik dan berfungsi sepenuhnya," tegasnya.