CHUKAI - Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Hassan 'As'ari Omar percaya taburan hujan lebat luar biasa pada Sabtu lepas menjadi punca utama berlakunya kepala air besar di Jeram Air Putih.
Beliau berkata, pada hari tersebut, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merekodkan taburan hujan sebanyak 106.5 milimeter (mm) dalam tempoh singkat tidak seperti kelaziman kadar bacaan hujan yang dicerap di daerah Kemaman sebelum ini.
Menurut laman rasmi Public Info Banjir JPS, daerah Kemaman pada 28 Jun mencatatkan taburan hujan sebanyak 0.5 mm, 9.0 mm (2 Julai) dan 0.5 mm (3 Julai).
Data taburan hujan pada 29 dan 30 Jun tidak direkodkan disebabkan gangguan sistem cerapan.
"Kepala air juga boleh berlaku disebabkan pembentukan kawah di sepanjang sungai dan bongkah-bongkah yang menghalang sisa-sisa untuk turun menyelusuri Sungai Teladas.
"Apabila hujan sangat lebat pada Sabtu, saya percaya ia menyebabkan segala yang terkumpul dalam kawah sungai itu dan yang tersangkut pada bongkah-bongkah termasuk batuan yang tinggi tidak lagi mampu menahan beban tersebut sebelum secara tiba-tiba runtuh dan hanyut dalam bentuk kepala air," katanya.
Hassan 'As'ari berkata, arus deras kemudiannya mengalir ke Sungai Teladas hingga sampai ke Jeram Air Putih, lokasi 10 individu yang sedang berkelah ketika itu sebelum menghanyutkan mereka semua.
Beliau berkata, hasil penelitian di lokasi kejadian mendapati kawasan tersebut mempunyai kelebaran sungai yang luas, dengan jarak ke tebing kira-kira 80 meter (m) dan percaya paras air meningkat sehingga lima meter, sekali gus menyukarkan mangsa untuk menyelamatkan diri mereka.
Semalam, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata laporan awal mengenai kejadian kepala air di Jeram Air Putih dijangka siap dalam masa terdekat.
Beliau berkata, ketika ini, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) masih melakukan tinjauan awal di lokasi kejadian dan pihak polis sedang melakukan siasatan.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 hingga 6 petang pada Sabtu lepas, sembilan sekeluarga dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang termasuk seorang bakal menantu ahli keluarga itu dari Batu Pahat, Johor dihanyutkan kepala air.
Hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR), lapan mayat telah ditemukan iaitu Karim Abdullah, 39 dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta enam anak mereka iaitu Putri Balqis Izzati Karim, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16; Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11; Putri Nurerina Natasya,10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6 dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.
Dua lagi mangsa belum dijumpai Putri Nor Fatin Karim, 14 dan tunang kepada Putri Balqis Izzati, iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24.
Mayat Azizah ditemukan terapung oleh orang ramai, dihanyutkan arus kira-kira 24 kilometer (km) dari tempat kejadian manakala Muhammad Zulqarnain Haikal tersangkut pada dahan pokok kira-kira 2 km dari tempat kejadian. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi kepala air: Mayat ketujuh disahkan Putri Balqis Izzati
Tragedi kepala air: Mayat ketujuh ditemukan
Tragedi kepala air: Operasi SAR disambung cari 3 lagi mangsa
Dua lemas, lapan lagi masih hilang dihanyutkan kepala air
Ancaman kepala air, operasi SAR kesan 8 lagi mangsa dihentikan awal
Terkejut, tak percaya keluarga kakak terlibat tragedi kepala air
Tragedi kepala air: Identiti lapan individu dikenal pasti
Tragedi kepala air: Operasi SAR disambung kesan lapan lagi mangsa
Tragedi kepala air: Hilang sepupu rapat sekelip mata
'Adik sanggup ikat perut nak kahwin hujung tahun ini'
Tragedi kepala air: Jenazah mangsa dibawa ke Felda Lepar Hilir 3