KOTA BHARU - Sepasang suami isteri ditahan selepas penemuan sepucuk pistol dalam peti besi yang tertanam di belakang sebuah rumah di Tok Ku, Sering dekat sini pada Isnin.
Suspek lelaki berusia 27 tahun dan wanita warga Thailand berusia 33 tahun itu ditahan dalam serbuan jam 11.10 pagi.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, mereka sebelum itu ditahan dalam sebuah kereta di tepi jalan sebelum dibawa ke lokasi rumah berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan turut menemukan 5,770 pil kuda yang dianggarkan bernilai RM63,470 dalam kereta dan rumah terbabit.
"Senjata ini ditanam di belakang rumah berdekatan dengan tembok konkrit,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan pada Selasa.
Muhamad Zaki berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan pemilikan senjata terbabit dipercayai bertujuan melindungi diri dalam kegiatan sindiket pengedaran dadah.
"Polis turut menyiasat kemungkinan wujud sindiket menawarkan pakej-pakej tertentu bagi kegiatan pengedaran dadah yang disertakan dengan senjata api.
"Senjata tersebut dipercayai diperolehi dari negara jiran,” ujarnya.
Beliau berkata, suspek lelaki terbabit mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan jenayah dadah dan pernah ditahan kerana memiliki serta menagih dadah selain urinnya didapati positif bahan itu manakala ujian air kencing isterinya negatif.
"Suspek lelaki ditahan reman selama tujuh hari sehingga Isnin ini sementara isterinya ditahan selama enam hari sehingga Ahad ini.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya.
Sementara itu, Muhamad Zaki berkata, seramai 305 individu ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah menerusi Op Tapis Khas dan Op Tapis Bersepadu pada 27 Jun 2023 sehingga 4 Julai 2023.
"Mereka yang ditahan berusia antara 16 hingga 69 tahun melibatkan 288 warga tempatan, warga asing (14) dan pelajar (3).
"Operasi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri ini merampas dadah termasuk air ketum bernilai RM191,910 dan sitaan harta termasuk kenderaan berjumlah RM39,650,” tambahnya.