BANGKOK - Parlimen Thailand melantik calon berkrompomi untuk memegang jawatan Speaker Dewan Rakyat pada Selasa yang berpotensi menyukarkan lagi usaha calon Perdana Menteri, Pita Limjaroenrat untuk membentuk kerajaan.
Pelantikan Wan Muhamad Noor Matha atau Wan Noor itu dibuat sehari selepas Raja Maha Vajiralongkorn merasmikan pembukaan sidang baharu Parlimen, lebih sebulan selepas Parti Move Forward (MFP) pimpinan Pita memenangi kerusi paling banyak ketika Pilihan Raya Umum pada 14 Mei lalu.
Keputusan pemilihan ahli politik veteran dari wilayah selatan berusia 79 tahun itu yang juga pemimpin Parti Prachachat dibuat sebulat suara seluruh anggota Parlimen termasuk MFP dan Parti Pheu Thai.
Sejak beberapa minggu lalu, MFP dan Pheu Thai gagal mencapai kesepakatan tentang calon yang sesuai hingga memberi peluang kepada Wan Noor yang mewakili etnik Muslim untuk memegang jawatan penting tersebut.
Salah satu tugas pertama beliau adalah untuk menentukan masa pengundian bagi melantik Perdana Menteri.
Saintis politik, Titipol Phakdeewanich percaya prosedur itu dijangka melalui beberapa pusingan memandangkan Speaker mempunyai peranan penting untuk mengemukakan nama pengganti Prayut Chan-o-cha.
"Oleh sebab itu, MFP benar-benar mahukan jawatan Speaker Dewan Rakyat demi memastikan nama Pita tersenarai,” kata Titipol.
Sejak kemenangan besar pada pilihan raya lalu, MFP telah berdepan tentangan dalam kalangan anggota Senat yang dilantik junta tentera setelah parti itu berhasrat mahu melakukan pembaharuan terhadap Undang-undang Lese Majeste.
Pada bulan lalu, sebuah suruhanjaya pilihan raya turut melancarkan siasatan untuk melihat sama ada Pita layak untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri kerana pemilikan saham dalam sebuah syarikat media yang dilarang sama sekali di bawah undang-undang negara itu. - AFP