SEREMBAN - Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa terdapat gangguan dan pencerobohan siber di pejabatnya termasuk akaun media sosial miliknya, sejak Jumaat lalu.
Anwar yang juga Presiden PKR dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya sedang menyelenggara permasalahan itu dan menyarankan semua pihak kekal berwaspada dengan segala maklumat datang dari pejabatnya mahupun akaun media sosial atas namanya.
Iklan
Iklan
"Kami sedang berusaha dengan pihak yang berkaitan dalam menyelesai isu pencerobohan siber ini,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, gejala pencerobohan siber sebegini semakin merebak ketika kita meluangkan seberapa banyak masa di ruang digital.
"Ternyata ia suatu impak yang negatif dalam keghairahan kita mencakup teknologi dan senantiasa terdedah kepada individu yang menggunakan perkakas digital sama ada untuk keuntungan segera atau membangkit ketidaktentuan dan kecelaruan.
"Sedang ‘big data’ dan kecerdasan buatan hanya akan dipacu dengan baik sekiranya ruang digital digunakan secara meluas, ia harus diseimbangkan dengan perlindungan data munasabah dan pendekatan baik dalam bagaimana data digunapakai,” katanya.
Menurutnya, isu itu juga disentuh dalam mengajukan Digital Native Agenda (DNA23) yang kini menjadi fokus pihaknya - Bernama