SEREMBAN - Timbalan Presiden Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mendakwa UMNO dan DAP sebenarnya terpaksa berlakon untuk menerima antara satu sama lain.
Beliau berkata, perkara itu diakui sendiri oleh rakannya daripada DAP.
"Baharu ini pun saya ada jumpa rakan daripada DAP yang mereka mengaku sekarang terpaksa berlakon menyokong UMNO, begitu juga dengan UMNO pun berlakon menyokong DAP sedangkan dalam hati tiada keserasian.
"Saya faham perasaan itu semasa saya berada dalam PH yang mana kita mempunyai dasar yang berbeza dalam banyak perkara dan terpaksa membuat keputusan secara bersendiri," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Minum Petang Pengamal Media Bersama Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, di sini pada Selasa.
Tambahnya, keadaan ketidakserasian itu akan dapat dilihat dari sehari ke sehari yang lama kelamaan akan lebih terserlah.
Beliau yang merupakan Pengerusi Perikatan Nasional(PN) Negeri Sembilan turut bersetuju yang UMNO dan DAP hanya bercakap untuk menyedapkan hati yang kononnya ahli parti mereka sudah mula menerima antara satu sama lain.
"Saya percaya kenyataan sebegitu hanya menyedapkan hati mereka yang bercakap bukannya yg mereka mendengar.
"Yang pastinya ada sejumlah besar penyokong tradisi termasuk ahli UMNO berasa kecewa atau 'geli-geliman' untuk bekerjasama dengan parti yang telah mengata nista mereka, yang telah menentang segala dasar diperjuangkan UMNO sejak awal lagi," katanya.