KUALA LUMPUR - Mesej tular di media sosial kononnya terdapat peraturan komunikasi baharu oleh kerajaan yang akan merekodkan semua panggilan serta memantau rangkaian media sosial dan forum adalah palsu.
SEBENARNYA.MY di laman rasminya memaklumkan berdasarkan hasil penelitian dan semakan yang dijalankan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mendapati mesej yang tular itu adalah tidak benar.
"Mesej tersebut didapati telah mula tular pada tahun 2017 di beberapa negara seperti Ghana, Emiriah Arab Bersatu, India dan juga Singapura.
"Ia disahkan oleh beberapa laman termasuk laman semak fakta di India (factcrescendo.com), akhbar International Business Times di India dan The Independent Singapore. Mesej tersebut didapati diubah sedikit dari semasa ke semasa namun kandungan mesej masih sama," katanya.
Mengulas lanjut, SEBENARNYA.MY memaklumkan kerajaan pada 2015, 2017 dan 2019 melalui Polis Diraja Malaysia, Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia juga telah menafikan perkara itu.
Antara lain, mesej yang tular itu mendakwa semua panggilan dirakam manakala platform media sosial seperti WhatsApp, Twitter dan Facebook dipantau.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya berhati-hati dengan mesej seumpamanya. - Bernama