Koordinasi negeri, persekutuan perlu bangun semula Kampung Iboi

Iklan
Mahdzir memberi penerangan ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Memperingati Genap Setahun Derita Rakyat Iboi (4 Julai 2022-4 Julai 2022) di sini, pada Selasa. - Foto Bernama

BALING - Koordinasi membabitkan semua agensi dalam kerajaan Persekutuan dan negeri amat diperlukan bagi memastikan pembangunan semula Kampung Iboi dan kawasan sekitar yang terjejas akibat banjir aliran puing, dapat diselesaikan segera.

Pengerusi Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, beliau dimaklumkan oleh wakil penduduk bahawa terdapat 32 perkara yang belum diselesaikan di situ selepas tragedi 4 Julai tahun lepas.

Iklan
Iklan

"Tadi mereka membangkitkan ada perkara yang belum diselesaikan oleh kerajaan Persekutuan dan negeri, ada senarai yang dibacakan oleh wakil penduduk...jadi pada saya Jawatankuasa Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah mengambil perhatian tentang perkara ini.

"Perkara ini pada saya antara yang sepatutnya boleh diselesaikan kalau ada koordinasi antara semua agensi sama ada negeri atau Persekutuan," katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Memperingati Genap Setahun Derita Rakyat Iboi (4 Julai 2022-4 Julai 2023) di sini pada Selasa.

Iklan

Turut hadir, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Mahdzir berkata, disebabkan tiada koordinasi itu pembangunan yang dirancang termasuk yang diluluskan peruntukan sebelum ini tidak dapat dilaksanakan sehingga memberi kesan kepada penduduk.

Iklan

Beliau berkata, kesemua perkara yang dikemukakan wakil penduduk yang perlu diselesaikan akan diambil perhatian dan dipanjangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kementerian berkaitan untuk diambil tindakan segera.

Dalam perkembangan sama, Mahdzir berkata, berdasarkan pengalamannya sebagai bekas Menteri Besar Kedah dan bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar, kesemua perkara yang dirancang sepatutnya dapat disiapkan dalam tempoh setahun.

"Contohnya lampu jalan, kalau ada koordinasi negeri dan pusat, panggil semua yang terbabit, tetapkan tarikh, buka tender, serahkan urusan kepada pegawai daerah...tapi kalau berselerak macam ini, tak tahu siapa yang pegang.

"Saya tak kata Menteri Besar Kedah sekarang ini lepas tangan..cuma saya tak tahu apa yang dia buat," katanya. - Bernama