RAMALLAH (Palestin) - Datuk Bandar Jenin, Nidal al-Obaidi, berkata beribu-ribu rakyat Palestin terpaksa meninggalkan rumah mereka di tengah-tengah operasi ketenteraan Israel yang berterusan di bandar itu.
"Tidak kurang daripada 4,000 rakyat Palestin telah dipindahkan dari rumah mereka sejak semalam,” kata al-Obaidi kepada Agensi Anadolu pada Selasa.
Beliau berkata, kira-kira 13,000 rakyat Palestin terperangkap di dalam rumah mereka di kem pelarian Jenin sejak Isnin, tanpa air atau makanan.
Tentera Israel melancarkan operasi ketenteraan terbesarnya di Jenin dalam tempoh lebih 20 tahun pada Isnin, membunuh sekurang-kurangnya 10 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 100 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.
"Situasi kemanusiaan di Jenin merupakan bencana besar. Apa yang berlaku ibarat gempa bumi. Ia mengingatkan kita kepada hari Nakbah,” kata al-Obaidi.
Rakyat Palestin menggunakan istilah"Nakba" atau Malapetaka untuk mengingati pengusiran ratusan ribu rakyat Palestin dari rumah dan tanah mereka pada tahun 1948 selepas penubuhan Israel.
Al-Obaidi berkata, Mesir sedang menjadi orang tengah untuk menghentikan serangan tentera Israel di Jenin, tanpa memberikan sebarang butiran lanjut.
Tentera Israel bergerak melintasi kem pelarian Jenin dengan merosakkan rumah-rumah di kem pelarian itu.
"Berpuluh-puluh rumah dan bangunan dimusnahkan atau dirosakkan oleh tentera Israel. Kami masih tidak dapat mengira jumlah sebenar rumah yang musnah di kem itu,” kata Datuk Bandar.
Hampir 190 rakyat Palestin dibunuh oleh tentera Israel sejak awal tahun ini, menurut Kementerian Kesihatan. Sekurang-kurangnya 25 warga Israel juga telah terbunuh dalam serangan berasingan dalam tempoh yang sama. - Bernama