LELAKI yang didakwa menuduh pelawak dan penyampai radio, Shuib sebagai ahli Freemason tampil memohon maaf atas keterlanjuran tulisannya di Instagram.
Pemilik akaun John Dihani itu turut mengakui kesilapannya memuat naik sebuah poster iklan barang kemas serta membuat komen yang mengundang ke arah fitnah membabitkan Shuib.
Malah dia juga bertanggungjawab membenarkan komen pengguna lain dalam media sosial tersebut sekali gus membawa fitnah kepada Shuib serta arwah isterinya, Siti Sarah Raisuddin.
"Saya, John Dihani dengan rendah hati dan penuh penyesalan di atas khilaf yang saya lakukan... Dengan ini saya ingin membuat permohonan terbuka kepada Abang Shuib dengan penuh ikhlas, berkaitan hantaran saya pada 30/6/2023 dengan memuat naik gambar poster iklan barang kemas yang memaparkan wajah Abang Shuib.
"Sehingga hantaran itu mengundang fitnah ke atas dirinya dan disebabkan hantaran di Instagram tersebut juga telah mengundang pengguna lain meninggalkan komen dan tindakan saya mengiyakan komen sehingga menjerumus dan membawa kepada fitnah pada Abang Shuib dan arwah isteri.
"Jauh dan ikhlas di sudut hati, sejujurnya saya menyesali tindakan saya berkongsi hantaran isu semasa yang berlegar dan yang saya ambil daripada hantaran oleh lain di Facebook tanpa melihat kesan dan akibat dengan perkongsian yang membuta tuli itu pada diri Abang Shuib sekeluarga," tulisnya.
Tidak hanya sekadar permohonan maaf, lelaki itu juga berharap dapat bertemu empat mata dengan Shuib dalam masa terdekat.
"Kepada Abang Shuib, saya harap sudi terima kedatangan saya untuk membuat permohonan maaf secara terbuka di atas kekhilafan saya dalam berkongsi posting berkenaan yang boleh menjerumus kepada fitnah,” katanya.
Shuib dalam sidang media khasnya pada Selasa berkata, dia enggan memaafkan John Dihani kerana beranggapan permohonan yang dibuat individu terbabit tidak ikhlas.
Bagaimanapun, bapa kepada empat orang cahaya mata itu terbuka memaafkan pekerja swasta, Zulhari Abu Othman yang turut mengaitkan Shuib dengan organisasi Freemason dan menuduh selebriti itu 'membunuh' isterinya dengan memaksa Siti Sarah ditidurkan selepas dijangkiti Covid-19.
Tambah usahawan itu, peguam mewakilinya sudah menghantar surat kepada John Dihani untuk memulakan tindakan undang-undang.
Shuib juga menerusi Instastory miliknya turut berkongsi paparan perbualan antara peguamnya dengan John Dihani berkaitan tindakan saman itu.
Beberapa hari lalu nama Shuib, 38, hangat diperkatakan selepas didakwa memaksa Siti Sarah untuk ditidurkan bagi membuktikan keperluan dan keberkesanan vaksin Covid-19.
Siti Sarah yang ditidurkan selepas mengalami masalah pernafasan meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 tiga selepas melahirkan putera bongsunya, Ayash Affan.