‘Susu khas, lampin semakin mahal’

Iklan
Hazana menjaga ibunya yang terlantar sakit sejak lima bulan lalu.

SUDAHLAH dibebani kemiskinan, ada dalam kalangan golongan rentan yang diuji pula dengan penyakit. Ketidakmampuan diri memaksa mereka memohon bantuan demi kelangsungan hidup.

Jika golongan mampu turut mengeluh dengan kenaikan harga makanan dan barangan, golongan rentan pastinya lebih tersepit apabila berdepan kos sara hidup yang semakin tinggi.

Iklan
Iklan

Wartawan Sinar Harian, Aswany Omar cuba menyelami suara hati mereka.

Pekerja kedai makan di Kota Bharu, Kelantan, Hazana Abd Hamid, 45, memberitahu, setiap bulan dia perlu membelanjakan kira-kira RM400 membeli susu formula khas untuk ibunya yang terlantar sakit sejak lebih lima bulan lalu.

Iklan

Selain itu, dia perlu membeli lampin pakai buang untuk ibunya, Kamariah Daud, 88, dan adik tiri, Siti Zulaiha Abd Hamid, 30, yang kurang upaya kerana menghidap cerebral palsy.

"Susu itu hanya bertahan selama seminggu jadi saya terpaksa berjimat cermat bagi memastikan kedua-dua mereka mendapat keperluan yang secukupnya,” katanya.

Iklan

Hazana berkata, walaupun ibu dan adiknya masing-masing menerima bantuan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun perbelanjaan tambahan masih diperlukan mereka sekeluarga kerana peningkatan harga barang keperluan.

Sementara itu, suri rumah, Rahayu Daud, 49, berkata, dia terpaksa berjimat cermat membelanjakan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan.

Dia yang menetap di Kuala Krai, Kelantan berkata, wang tersebut digunakan untuk membeli keperluan suaminya, Mazlan Latif, 59, yang kini terlantar akibat serangan angin ahmar.

Rahayu yang juga pesakit buah pinggang tahap lima memberitahu, dia membeli susu khas berharga RM112 setin yang hanya mampu bertahan selama tiga hari.

"Saya membelanjakan kira-kira RM1,500 setiap bulan termasuk lampin pakai buang hanya untuk keperluan suami.

"Alhamdulillah ada pihak yang menghulurkan sumbangan, tetapi kami perlu berjimat kerana susu dan lampin pakai buang perlu diutamakan,” katanya.