KEPADA lelaki yang bergelar bapa atau bakal bapa dan sihat tubuh badan, tolonglah prihatin.
Nak teman isteri untuk pemeriksaan di klinik kesihatan ibu dan anak memanglah boleh, malah sangat digalakkan, cuma Merak Jalanan nak pesan, kenalah lebih banyak common sense serta prihatin keadaan sekeliling.
Bukankah kita sudah diajar nilai-nilai murni agar utamakan golongan memerlukan terutama warga emas, ibu mengandung dan orang kurang upaya (OKU) terutama di tempat awam. Namun, entah kenapa masih ada segelintir yang buat tak kisah.
Itulah yang berlaku ketika Merak Jalanan menemani ahli keluarga di sebuah klinik. Sakit betul mata Merak Jalanan lihat ada suami tanpa segan silu duduk di sebelah isteri yang sarat mengandung, sedangkan ada ibu hamil lain terpaksa berdiri kerana tiada kerusi kosong.
Dia seorang sahaja agaknya yang nak berkepit 24 jam dengan si isteri waima di klinik sekali pun.
Ada juga yang ralit membelek telefon bimbit, malah lebih teruk ada yang boleh terlena tatkala suasana begitu sibuk dan sesak dengan ibu-ibu yang bawa perut, bawa bayi serta bawa anak-anak kecil.
Malah, ada juga ibu yang baru melahirkan anak tak dapat tempat duduk ketika menunggu giliran akibat si suami ibu lain yang turut sama memenuhi tempat duduk.
Jika itu berlaku kepada isteri atau ahli keluarga anda yang lain, agaknya apa perasaan anda?
Bukanlah nak larang si suami teman atau bantu si isteri di klinik tapi tolonglah bertimbang rasa dan empati. Tak perlulah nak ikut sama penuhkan kerusi yang dikhaskan untuk si ibu.
Lebih molek rasanya selepas hantar isteri, suami tunggulah di luar atau duduk sahaja di dalam kereta. Masuk jika isteri perlukan bantuan atau duduklah jika ruang menunggu tak ramai orang.
Dan kepada si isteri pula, mintalah suami beredar jika lihat ada ibu hamil lain yang perlukan tempat duduk.