TINDAKAN seorang pengguna Twitter menulis sebuah kenyataan biadab terhadap keadaan kesihatan terkini Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad wajar diselar.
Media sosial seperti Twitter, TikTok, Facebook, Instagram atau apa juga yang seangkatan dengannya tidak boleh dijadikan tempat untuk kita meluahkan rasa dengan sesuka hati, apatah lagi memberikan kenyataan biadab terhadap individu lain.
Pada Ahad, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut kesal dengan perkara tersebut dan mengarahkan pengguna berkenaan memohon maaf atas hantarannya itu.
"Saya membantah dan kesal dengan ciapan biadab Zaki Yamani, dan mengarahkan beliau untuk memohon maaf dengan kadar segera,” tulis Anwar.
Membuat kenyataan biadab di media sosial bukan kali pertama berlaku kerana sebelum ini banyak yang telah dikecam, malah ada yang sudah berdepan tindakan undang-undang. Sepatutnya hukuman tersebut dijadikan pengajaran agar kita tidak membuat kenyataan sesuka hati.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menganggap tindakan individu berkenaan sebagai tidak beradab dan tidak mempunyai akhlak Islam yang baik.
Tuan Ibrahim berkata, meskipun perbezaan pandangan dari segi politik, namun isu berkaitan sakit dan kematian tidak sepatutnya dijadikan alat untuk menunjukkan kebencian.
"Individu itu perlu mendalami akhlak Islam dan memahami bahawa sakit ini akan dialami oleh setiap manusia.
"Perkara ini tidak boleh dibuat bahan. Orang bukan Islam pun kutuk tindakan dia kerana tidak mencerminkan akhlak yang baik,” katanya.
Mendoakan kematian individu lain adalah tindakan yang tidak patut sama sekali. Kita perlu meletakkan nilai kemanusiaan di tempat teratas melebihi ketaasuban terhadap parti politik ketika melayari media sosial.
Sebagai warganegara yang tertakluk kepada undang-undang, sewajarnya kita menggunakan media sosial dengan berhemah atau sememangnya kita mempunyai masalah mental ‘tidak lut’ undang-undang dengan menganggap apa yang diciap sekadar untuk suka-suka.
Jaga adab sesama kita
Bukan dalam kehidupan seharian sahaja kita perlu beradab tetapi adab itu perlu dibawa ketika melayari media sosial.
Tidak kurang juga ramai antara kita terperangkap dalam budaya menghasut, memfitnah dan menyebarkan kebencian dalam penggunaan media sosial.
Akibat budaya buruk ini, ia telah memecahbelahkan hubungan sesama manusia, apatah lagi tatkala antara kita berbeza fahaman politik.
Kerana itu, pentingnya kita menghayati panduan agama yang menganjurkan adab dan etika ketika berinteraksi sesama manusia termasuk di media sosial.
Penulis tidak nafikan kewujudan pelbagai bentuk media digital banyak memberi manfaat dan kemudahan, namun kita juga perlu sedar pada waktu yang sama, media sosial boleh menjadi medan bercambahnya perbalahan, kebencian, fitnah serta perkara-perkara negatif lain.
Akhlak itu perhiasan dan cerminan orang Islam yang melambangkan kemuliaan keperibadian kita. Seharusnya kita beradab pada setiap masa. Pertimbangan baik dan buruk sesuatu kenyataan yang bakal kita buat perlu diutamakan.
Kita perlu menyedari hakikat bahawa kita telah mendedahkan diri kita kepada sebuah dunia tanpa sempadan ketika berinteraksi di alam maya.
Justeru, sikap waspada dan teliti perlu diperhatikan pada setiap pertuturan serta tindakan agar adab dan etika kita dapat dijaga dengan baik.
Apabila hilang adab dan etika dalam diri kita, maka akan timbul sifat-sifat keji yang boleh merosakkan diri serta hubungan sesama manusia.
Lihatlah bagaimana perbalahan dan permusuhan yang berlaku hari ini boleh dikatakan berpunca daripada ideologi kebencian serta sifat tidak senang antara satu sama lain.
Jangan hanya Islam pada nama tetapi perwatakan kita lebih teruk daripada Zionis.
Rasulullah SAW bersabda:"Sesungguhnya sebaik-baik orang di antara kalian adalah yang paling baik akhlaknya.” (HR. Bukhari)
Justeru, walaupun apa juga beza fahaman politik kita, janganlah sampai hilang nilai kemanusiaan dan biadab.
* Wan Rosida Wan Hamad ialah Editor Pengisian Sinar Online