JENIN - Kira-kira 3,000 penduduk Palestin yang tinggal di kem pelarian Jenin terpaksa menjadi pelarian sekali lagi setelah rejim Zionis melancarkan operasi ketenteraan berskala besar di utara Tebing Barat pada Isnin.
"Mereka berpindah beramai-ramai untuk menyelamatkan diri,” kata Timbalan Gabenor Jenin, Kamal Abu al-Roub sambil menambah kumpulan tersebut bakal ditempatkan di sekolah dan pusat perlindungan sementara lain di sekitar bandar tersebut.
Menurutnya, terdapat kira-kira 18,000 penduduk Palestin menetap di kem pelarian berkenaan yang digempur Pasukan Pertahanan Israel (IDF).
Serbuan ganas di bawah arahan kerajaan ‘ekstremis’ pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu tersebut yang disertai ratusan anggota tentera memasuki hari kedua pada Selasa.
Letupan kuat turut menggegar bandar itu yang didakwa menjadi kubu kuat kumpulan pejuang, Briged Jenin yang mahu dihapuskan tentera Israel.
Serangan ganas itu telah meragut 10 nyawa manakala 100 yang lain cedera termasuk 20 disahkan berada dalam keadaan kritikal.
Netanyahu dengan angkuh mendakwa tentera mereka berjaya menggempur 'sarang pengganas' di Jenin dan memusnahkan pusat perintah bersama serta merampas bekalan senjata milik kumpulan tersebut.
Kementerian Luar Palestin menerusi kenyataan balas menyifatkan tindakan pencerobohan itu sebagai satu bentuk perang terbuka kepada penduduk Jenin setelah rejim Zionis meningkatkan operasi mereka sejak beberapa bulan lalu.
Disokong AS
Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) yang merupakan sekutu kuat Israel berpendapat kononnya rejim Tel Aviv berhak untuk mempertahankan penduduknya daripada ancaman pejuang Palestin setelah komuniti antarabangsa berdiam diri tentang operasi mengejut tersebut.
"Kami menyokong hak keselamatan Israel yang mahu melindungi orang awam daripada ancaman gerakan Hamas dan Jihad Islam serta kumpulan pejuang lain.
"Ia adalah penting untuk mengambil segala langkah yang perlu bagi mengelakkan lebih banyak kehilangan nyawa pada masa akan datang,” kata jurucakap Jabatan Negara di Washington.
Kenyataan itu bagaimanapun bercanggah dengan saranan AS sebelum ini yang menggesa kerjasama keselamatan antara Israel dan Palestin disambung semula.
Pentadbiran Presiden Joe Biden telah berulang kali mendesak kedua-dua belah pihak tersebut agar mencapai perdamaian untuk mengelakkan konflik lebih buruk.
Ketika kebangkitan Intifada Kedua pada 2002, operasi berskala penuh yang dilancarkan IDF di Jenin telah menyebabkan sekurang-kurangnya 52 pejuang dan penduduk Palestin terkorban berikutan pertempuran sengit berlarutan selama 10 hari. - AFP