SABAK BERNAM - Seorang penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Jasin, Melaka, di sini, terpaksa menangguhkan pengajiannya selepas disahkan menghidap penyakit kanser buah pinggang tahap empat.
Fildati Amalina, 19, penuntut semester dua jurusan Pengurusan Perniagaan universiti itu kini terlantar sakit selepas mula dikesan menghidap kanser sebelum menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Oktober 2017.
Bapanya, Amir Shariffuddin Mohamed Shalan, 50, berkata, Fildati atau lebih mesra disapa 'Kak Lin' pernah mengalami kesakitan selepas tidak mampu meluruskan badannya dan terpaksa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam.
"Saya bawa dia ke hospital dan doktor maklumkan kesakitan itu disebabkan penyakit apendiks," katanya.
Amir Shariffuddin berkata, anak keempat daripada lapan beradik itu kemudiannya terpaksa dirujuk ke Hospital Teluk Intan (HTI).
"Beberapa bulan lepas itu, Kak Lin sekali lagi mengadu kesakitan di tempat sama dan saya bawa dia ke Hospital Selayang.
"Doktor yang merawat mengesahkan dia menghidap penyakit kanser itu.
"Apa yang membanggakan saya, semangat juang Kak Lin tinggi dan tak mudah putus asa sampai berjaya habiskan peperiksaan SPM dan melayakkan dia menyambung pengajiannya di universiti," katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Masjid, Kampung Baru di sini.
Amir Shariffuddin berkata, meskipun mendapat bantuan perubatan bulanan dari Lembaga Zakat Selangor (LZS), namun dia menghadapi kesukaran menampung kos perjalanan berulang alik ke hospital sebanyak RM300 setiap kali perjalanan.
Amir Shariffuddin yang bekerja sebagai penjual air nira nipah berkata, buah pinggang Fildati sebelah kanan terpaksa dibuang berikutan sel kanser berkenaan merosakkan organ itu dan kini merebak ke bahagian paru-paru.
"Setiap hari, saya menangis tengok keadaan Kak Lin yang tak berdaya dan terbaring atas katil selain tak mampu jamah sebarang makanan kecuali susu formula khas.
"Saya sekeluarga reda ketentuan Ilahi dan berharap Kak Lin sembuh macam sedia kala," katanya yang mempunyai lapan anak berusia 11 hingga 26 tahun.
Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menyumbang boleh menghubungi Amir Shariffuddin di talian 0192459245 / 0198125249 atau menyalurkan sumbangan melalui akaun Maybank (162094206827).
Sementara itu, nasib menimpa Fildati mendapat perhatian dari Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam, Datuk Abd Rahman Bakri yang memberi sumbangan keperluan.
Abd Rahman berkata, beliau bersimpati dengan nasib dialami penuntut berkenaan.
"Kita berharap agar mana-mana agensi kerajaan dapat membantu mengurangkan beban yang dihadapi keluarga ini," katanya.