PRN: Hari mengundi 12 Ogos, penamaan calon 29 Julai - SPR

Iklan
Abdul Ghani (tengah) ketika sidang media bagi mengumumkan tarikh penamaan calon dan mengundi untuk PRN bagi enam negeri pada Rabu.- FOTO: SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Hari pengundian bagi pilihan raya di enam negeri (PRN) akan dilaksanakan serentak pada 12 Ogos depan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh turut memaklumkan penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai.

Iklan
Iklan

PRN melibatkan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36).

Menurutnya, dengan penetapan tarikh tersebut, tempoh berkempen adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding pada 29 Julai sehingga jam 11.59 malam 11 Ogos.

Iklan

Beliau berkata, urusan permohonan semua undi pos luar dan dalam negara dibuka 15 Jun lalu akan ditutup pada 26 Julai bagi kategori 1A.

"Tarikh tutup kategori 1B pula adalah Sabtu ini manakala 1C pula 11 Julai.

Iklan

"Kategori 1A adalah petugas pilihan raya, anggota dan pegawai SPR serta petugas media.

"Rakyat Malaysia yang berada di luar negara merupakan kategori 1B dan 1C pula adalah agensi dan organisasi," katanya.

Katanya, SPR telah melantik 245 orang pegawai pengurus pilihan raya dibantu oleh 740 penolong.

"Bagi tujuan memantau aktiviti kempen, SPR telah menubuhkan 252 pasukan penguat kuasa kempen yang dianggotai oleh polis, pihak berkuasa tempatan dan wakil calon bertanding," katanya.

Ujar Abdul Ghani, bakal calon diseru agar mengisi dan membuat semakan awal borang di pejabat pegawai pengurus atau pejabat pilihan raya negeri sebelum hari penamaan calon.

"Mereka juga digalakkan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar," katanya.

Jelas beliau, kertas penamaan calon yang telah lengkap diisi dan disemak hendaklah dikemukakan calon, penyandang atau pencadang semasa hari penamaan calon.

"Mana-mana pihak untuk menjadi pemerhati boleh mengemukakan permohonan kepada SPR menerusi e-mail pemerhati@spr.gov.my," katanya.