BINTANG legenda, Datuk Fauziah Nawi menyifatkan pengurniaan Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada Selasa sebagai suatu pengiktirafan cukup bermakna buat dirinya.
Fauziah berkata, apa yang menyentuh hatinya apabila anugerah tersebut diberikan ketika hayatnya masih ada.
"Saya sangat bersyukur dengan rezeki yang diberikan ini dan dalam masa sama sebak apabila orang masih ingat saya dan mendapat pengiktirafan sebegini ketika masih hidup.
"Ramai sangat orang memberikan ucapan tahniah dan berkongsi kegembiraan sama dengan saya. Rasa diri dihargai dan menyuntik lebih semangat untuk saya terus menyumbang kepada industri.
"Saya berterima kasih kepada pihak yang mencadangkan nama saya untuk anugerah ini dan saya harap rakan-rakan seangkatan saya juga akan mendapat peluang sama. Mungkin kita perlukan satu badan yang boleh menilai dan mencadangkan nama-nama yang sesuai untuk diberikan pengiktirafan,” katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, bintang yang baru saja meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-70 pada 28 Jun lalu berharap agar anugerah dan pengiktirafan yang diterimanya itu dapat membuka lebih ruang untuknya terus aktif dalam bidang seni.
"Saya masih orang yang sama, cuma saya harap dengan adanya gelaran ini, mungkin lebih senanglah saya untuk terus aktif bekerja. Kami tak harapkan apa-apa bantuan, tetapi inginkan peluang bekerja sahaja.
"Saya ini tiada apa sebenarnya, tapi sering menjadi tempat rujukan rakan-rakan seangkatan. Mungkin mereka mahu mendengar pendapat saya atau saja mahu berkongsi masalah.
"Jadi saya sedih bila tak dapat bantu mereka yang dalam kesusahan, terutamanya dalam soal kewangan sebab saya pun tak cukup nak bagi. Saya harap lepas ini rezeki dalam kerja lebih bagus dan mudahlah saya hulurkan bantuan,” katanya yang menganggap anugerah tersebut sebagai satu tanggungjawab besar yang diamanahkan.