JURULATIH Real Madrid, Carlo Ancelotti dilaporkan akan menjadi ketua jurulatih skuad kebangsaan Brazil bagi Copa America 2024, lapor sumber Persekutuan Bolasepak Brazil (CBF).
Badan induk itu sebelum ini memaklumkan pengendali Fluminense, Fernando Diniz akan membimbing pasukan sebagai jurulatih sementara.
Ancelotti yang berasal dari Itali memiliki baki kontrak semusim lagi bersama Real dan akan membimbing Brazil untuk Copa America yang dijadualkan berlangsung di Amerika Syarikat (AS) pada Jun tahun depan.
Sekiranya spekulasi tersebut menjadi kenyataan, bekas pengurus AC Milan dan Chelsea itu akan menjadi jurulatih luar pertama melatih Brazil dalam tempoh hampir 60 tahun.
Kali terakhir pengendali luar membimbing Brazil adalah Filpo Nunez dari Argentina yang mengendalikan satu perlawanan pada 1965.
Ancelotti, 65, melalui era gemilang sebagai jurulatih apabila meraih pelbagai kejayaan termasuk gelaran Liga Juara-Juara sebanyak dua kali bersama AC Milan dan Real Madrid.
Dia juga merangkul kejuaraan di peringkat domestik di England bersama Chelsea, di Jerman bersama Bayern Munich dan di Perancis bersama Paris Saint-Germain, selain bersama Real dan Milan.
Pada Piala Dunia di Qatar tahun lalu, Brazil dibimbing oleh Tite, tetapi dia meletak jawatan selepas pasukan terebut tewas kepada Croatia dalam aksi suku akhir.
Sejak itu, Ramon Menezes dilantik sebagai jurulatih sementara Brazil.