ALOR SETAR - Polis Kedah menahan 54 individu dipercayai terlibat dengan sindiket penipuan dalam talian di sebuah premis di kawasan Perusahaan Mergong, dekat sini yang dijadikan sebagai pusat panggilan 'phone scam', pada Isnin.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, suspek berumur 20 hingga 50 tahun itu terdiri daripada tiga lelaki tempatan, dua lelaki warganegara Bangladesh, 19 lelaki warganegara Taiwan, seorang wanita warganegara Taiwan dan 29 lelaki warganegara China.
Menurutnya, sindiket itu dipercayai telah beroperasi selama empat bulan di premis tersebut dan menyasarkan mangsa dari negara China dan Taiwan.
"Modus operandi mereka ini adalah menelefon mangsa dengan menyamar sebagai pegawai agensi penguatkuasa dan mangsa dimaklumkan akaun bank sedang disiasat dan wang mereka akan dibekukan atau hilang.
"Bagi mengelakkan perkara ini, mangsa akan diminta memindahkan wang ke dalam akaun yang diberikan oleh sindiket," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah pada Rabu.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Abu Samah Mohd Noor.
Serbuan tersebut dilakukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah yang turut dibantu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, Kuala Muda dan Langkawi.
Katanya lagi, dalam serbuan jam 6 petang itu, polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton Exora, sebuah lori jenis Isuzu, anak kunci, komputer riba, telefon bimbit, router, mesin pencetak, kertas skrip serta kertas yang mengandungi nombor akaun bank negara China.
Tambahnya, polis sedang mengesan dua lagi individu iaitu pemilik premis dan pemilik syarikat kenderaan dipercayai dapat membantu siasatan kes.
"Mereka sudah ada skrip dalam bahasa mandarin, menunjukkan skrip yang sama. Sesiapa yang terima panggilan dia akan sambungkan ke sini. Saya menyeru kepada orang awam sekiranya terima panggilan ini tidak perlu dilayan," ujar beliau.
Jelas Fisol, semua suspek ditahan direman selama empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 55B(1) akta sama.