Salah guna bantuan, nelayan berdepan tindakan tegas - LKIM

Iklan
Muhammad Faiz menyampaikan sijil penghargaan kepada Hamid di Majlis Penyerahan Projek Siap Naik Taraf Slipway kepada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Tumpat pada Rabu.

TUMPAT - Nelayan yang dikesan menyalahgunakan bantuan yang diberikan kerajaan boleh dikenakan tindakan tegas termasuk pembatalan sebagai ahli persatuan, kata Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil.

Beliau berkata, tindakan pembatalan itu akan memberi kesan yang besar kepada nelayan termasuk tidak layak lagi mendapat sebarang bantuan kerajaan.

Iklan
Iklan

"Kita lakukan proses pemutihan untuk memastikan hanya nelayan yang benar-benar layak diberi bantuan. Kita ada persatuan nelayan yang akan memantau perkara ini dan jika ada pelanggaran peraturan atau syarat yang kita tetapkan, tindakan tegas akan diambil," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rahmah Mesra Madani Libat Urus Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Negeri Kelantan di Kompleks Perikanan LKIM Geting, Tumpat di sini pada Rabu.

Iklan

Pada majlis itu, Muhammad Faiz menyampaikan bantuan di bawah Program Peningkatan Pendapatan Insentif Peralatan Penangkapan Ikan (Touch Point) kepada 50 nelayan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Tumpat.

Seramai 50 nelayan daripada PNK Semerak di Pasir Puteh akan menerima bantuan sama dalam program berasingan membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM100,000.

Iklan

Dalam pada itu, Faiz berkata, setakat ini tiada laporan penyalahgunaan bantuan diterima pihaknya sejak langkah pemutihan dilakukan.

"Saya yakin nelayan yang dipilih menerima bantuan adalah daripada golongan yang benar-benar memerlukan dan memanfaatkan sepenuhnya sumbangan yang diberikan untuk meningkatkan hasil tangkapan," katanya.

Terdahulu, beliau menyempurnakan penyerahan projek naik taraf slipway kepada PNK Tumpat yang melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM741,300 bagi memberi kemudahan kepada nelayan membaiki kerosakan bot.

Pembinaan slipway itu dapat menempatkan tiga bot dalam satu-satu masa dan akan memberi manfaat kepada lebih 170 vesel dan 1,300 nelayan di Tumpat. - Bernama.