IPOH - Lelaki berbadan tegap yang tular menunjal kepala pemandu wanita meminta semua pihak tidak lagi mengecam diri dan keluarganya akibat kejadian itu.
Dalam satu perkongsian video di media sosial pada Selasa, Mohammad Zaim Faiz Tarmizi, 29, menyatakan permohonan maaf kepada wanita berkenaan.
Menurutnya, tindakannya menunjal kepala wanita berusia 25 tahun itu bukanlah dengan niat untuk memukul, sebaliknya akibat daripada perasaan marah yang tidak dapat dikawal.
"Saya nak mohon maaf atas perbuatan saya kepada wanita tersebut. Saya tunjal tanpa niat nak pukul.
"Apapun saya dah terima hukuman saya. Jadi saya nak minta netizen jangan cakap bukan-bukan, mana yang cakap bukan-bukan itu (kecaman), hentikan sahaja," katanya yang tampil dalam video berdurasi enam minit bersama isteri.
Penyelia kilang itu turut berkongsi insiden sebenar berlaku pada hari kejadian yang menyebabkan dia bertindak marah.
Katanya, ketika kejadian, dia bersama isteri yang sarat mengandung serta seorang anak kecil dalam perjalanan pulang dari Cameron Highlands ke Shah Alam dengan keadaan trafik agak sesak.
"Sampai dekat selekoh tajam tiba-tiba ada satu kereta dari arah bertentangan menghala ke saya sambil brek kecemasan dan bagi hon.
"Bila saya tengok belakang, rupanya ada kereta Myvi nak potong tetapi tak lepas. Keadaan saya ketika itu kelam kabut tetapi bernasib baik tidak jatuh ke gaung.
"Anak dan isteri saya yang duduk di belakang sudah jatuh sampai perutnya terkena kerusi hadapan," katanya.
Melihat keadaan anak dan isteri yang mengadu sakit menyebabkannya hilang pertimbangan sebelum mengambil keputusan berhenti di bahu jalan berhampiran kawasan air terjun Lata Iskandar, Tapah iaitu kira-kira 3 kilometer dari tempat kejadian.
Dia mengakui gagal menahan marah disebabkan wanita tersebut tidak henti-henti menjawab atas kesilapan sendiri.
"Bila saya bercakap, dia bagi, saya bercakap dia bagi lagi. Sampai satu masa tu, saya dah nak pergi, dia masih menjawab, saya patah balik dan tepuk, tunjal dahi dia.
"Seorang suami tengok anak isteri dah lintang pukang kat belakang, apa perasaan dan saya sendiri pun tak boleh fikir ketika itu," katanya.
Dia bagaimanapun bersyukur kerana mendapat pengajaran besar daripada kejadian itu.
"Saya belajar sesuatu daripada kes ini dan apabila masuk penjara, saya dapat kesedaran daripada banduan-banduan lain," katanya sambil tidak menolak kemungkinan untuk membuat laporan polis terhadap wanita berkenaan.
Pada 9 Jun lalu, Mohammad Zaim Faiz dihukum penjara tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Tapah selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengugut dan mencederakan pemandu wanita hingga video kejadian itu tular di media sosial.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah menakutkan secara jenayah terhadap Amiera Atiqah Shahrizan dengan kata ugutan 'pecah muka kau sat lagi' di Lata Iskandar Kilometer 22, Jalan Tapah - Cameron Highlands sekitar jam 5.33 petang pada 5 Jun lalu.