ALOR SETAR - Tarikh hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 12 Ogos depan disifatkan bersesuaian dan mencukupi untuk semua pihak membuat persediaan.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pilihan tarikh berkenaan juga memberi peluang kepada jemaah haji yang menunaikan ibadah haji untuk menunaikan tanggungjawab mengundi.
Menurutnya, kesemua tarikh yang ditetapkan bermula daripada hari penamaan calon dilihat adil dan memberikan masa mencukupi untuk semua parti terlibat melaksanakan kempen.
"Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Seri Norizan Khazali akan menyerahkan writ pilihan raya kepada semua Pegawai Pilihan Raya di pusat pengundian di semua daerah mengundi pada Khamis (esok) petang," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini pada Rabu.
Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah percaya Kerajaan Perpaduan yang ditunjangi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) juga memerlukan lebih masa untuk menjelajah ke enam negeri PRN.
"Bagi saya tempoh itu sesuai walaupun berlebihan tempohnya selepas bubar DUN. Mereka (PH, BN) pun perlu masa lagi untuk pusing banyak tempat, khususnya IPT pusing tak habis lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu berharap kempen PRN akan dijalankan secara sihat dengan memaparkan fakta dan kritikan yang benar.
"Kempen PRN (Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) kata tak boleh sentuh isu 3R (agama, kaum, institusi raja). Saya nak beri ingatan, politik pun ada urusan agama, ada dosa dan pahala. Cakap tak betul atau fitnah orang adalah berdosa kalau tak ampun masuk neraka, tak kan itu tak boleh cakap.
"Kalau itu tak boleh, teruk lah sebab jadi sekular, memisahkan agama dengan politik. Kalau kempen mula dengan fitnah dan cerita-cerita tak betul, saya bimbang habis kempen masuk neraka semua,” ujarnya.
Menurutnya lagi, kempen berbaur fitnah atau propaganda adu domba hanya mewujudkan suasana politik tidak sihat.
"Zaman revolusi di Barat mensekularkan semua kehidupan termasuk urusan politik, rumah tangga, ekonomi, semua ada dosa pahala. Tak boleh pisah dan tak boleh larang orang bercakap bab itu. Kita harus mengingatkan orang, fitnah berdosa di akhirat nanti tanggunglah ada balasan,” jelasnya.
SPR memaklumkan terdapat seramai 1,585,085 daftar pemilih bagi PRN Kedah dengan sejumlah 104,284 pengundi berumur antara 18 hingga 20 tahun.
Kedah mempunyai 36 kerusi DUN dengan komposisi terkini menyaksikan PN memiliki 20 kerusi (Pas 14, Bersatu 6); PH menguasai 10 kerusi ( PKR 5, Amanah 3, DAP 2); Barisan Nasional dan Parti Pejuang Tanah Air masing-masing dua kerusi.
Dua lagi kerusi kosong apabila Ahli Dewan Undangan Negeri Gurun (PKR), Datuk Johari Abdul mengosongkan kerusinya pada 18 Disember tahun lalu dan dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat, sementara ADUN Belantek, Datuk Mohd Isa Shafie meninggal dunia 14 Jun lalu.
ARTIKEL BERKAITAN:
PRN: Hari mengundi 12 Ogos, penamaan calon 29 Julai - SPR
PRN telan kos RM420 juta - SPR