PUTRAJAYA - Kaunter bantuan khas dinamakan 'Help Desk' bagi melancarkan urusan komunikasi melibatkan pengembara luar yang tiba di negara ini akan ditempatkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam masa terdekat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kaunter berkenaan akan menempatkan pegawai yang boleh berkomunikasi dengan bahasa asing antaranya Mandarin, Inggeris, Arab dan Hindi.
Iklan
Iklan
Menurutnya, langkah itu untuk memberi penambahbaikan kepada pengembara untuk memahami proses temu bual beberapa perkara asas yang menjadi amalan biasa di mana-mana pintu masuk negara asing.
"Jadi kita juga setuju dengan Malaysia Airport Berhad (MAB) untuk naikkan lebih banyak papan tanda di KLIA.
"Supaya pengembara ini tahu perkara yang akan ditanya adalah amalan asas," katanya dalam Sidang Media Khas di sini pada Rabu.
Saifuddin berkata, beberapa soalan asas seperti ada tiket balik atau tidak, wang yang mencukupi dan alamat penginapan antara perkara asas yang ditanya.
"Sama seperti kita ke luar negara.. ini bagi mengelakkan pengembara menggunakan pas sosial untuk bekerja," katanya.