POKOK SENA - Ibu kepada Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid meninggal dunia kerana sakit tua kira-kira jam 2.30 pagi semalam.
Che Dah Yaakob,78, menghembuskan nafas terakhirnya di Putra Medical Centre setelah 10 hari dimasukkan ke wad.
Mahdzir berkata, ibunya sebelum ini menghidap penyakit angin ahmar sejak lima tahun yang lalu.
Katanya, pemergian ibunya apatah lagi di saat menjelang Ramadan sangat dirasai oleh mereka sekeluarga.
"Saya rasa satu kehilangan yang sangat besar. Dari kecil arwah ibu adalah insan yang banyak beri inspirasi kepada saya terutamanya dalam kerjaya politik.
"Arwah ibu selalu bagi semangat kepada saya dan nasihatkan agar saya terus kuat berjuang demi rakyat," katanya yang juga Naib Presiden UMNO.
Jenazah Allahyarhamah Che Dah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Surau al-Islamiah Kampung Lancuk Emat, Mukim Bukit Lada di sini kira-kira jam 11.30 pagi tadi.
Terdahulu, seramai 500 jemaah turut menyempurnakan solat jenazah yang diimamkan oleh Ustaz Mohd Nasir Md Zain di surau berkenaan.