BANGI - Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang baharu dilantik, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menganggap tindakan segelintir pihak mempersoal pelantikan dirinya sebagai cabaran untuk melakukan terbaik dalam menyusun kembali agensi itu agar kembali berdaya saing.
Menurutnya, tidak dilahirkan dalam keluarga peneroka juga bukan alasan dirinya perlu ‘ditolak’ daripada menerima tugas yang diamanahkan itu.
"Apabila timbul isu sama ada orang tempatan, bekas anak Felda atau tidak. Saya melihatnya sebagai satu cabaran untuk memberikan sesuatu yang terbaik.
"Malah, sejarah politik saya juga sebenarnya bermula dengan sentuhan hati terhadap apa yang berlaku dalam masyarakat Felda.
"Jadi, soal saya anak Felda atau tidak itu juga menjadi ingatan saya hendak buktikan bahawa hati dan perasan akan sama untuk memberikan yang terbaik kepada Felda,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Seminar Jawatankuasa Permuafakatan Produktiviti dan Kualiti (JPPK) 2023 yang berlangsung di salah sebuah hotel, di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Ahmad Shabery yang juga bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, fokusnya ketika ini adalah untuk meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan Felda agar kembali ke landasan sebenar.
Ujarnya, usaha itu penting selaras dengan tekad untuk menjadikan agensi itu sebagai jenama yang boleh dibanggakan oleh seluruh rakyat Malaysia pada masa akan datang.
"Namun, dalam usaha untuk meningkatkan lagi keupayaan, tiga aspek penting iaitu peneroka, pengurusan Felda dan kerajaan perlu bergerak selari dan atas sebab itu juga saya berharap boleh menjadi jambatan yang menyambung kepada ketiga-tiga ini,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Shabery dalam masa sama turut menegaskan, beliau akan meneruskan program yang dilaksanakan oleh pengerusi terdahulu iaitu Tan Sri Idris Jusoh kerana jelas ia banyak membantu dalam memulihkan agensi berkenaan.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Idris kerana banyak legasi yang dibina dan ditinggalkan (kepada Felda). Insya-ALLAH saya akan teruskan,” katanya.
Beliau dalam sama sama juga akan memberi tumpuan terhadap pelan pemulihan Felda dan akan memantau perkembangan tersebut agar ia bergerak mengikut landasan yang ditetapkan.