Polis Sabah patahkan sindiket judi dalam talian

Iklan
Salah satu bilik digunakan sebagai 'calling centre' untuk aktiviti perjudian dalam talian di tingkat tujuh sebuah kompleks beli-belah di Jalan Pintas, Penampang.

KUDAT - Polis Sabah berjaya mematahkan sindiket perjudian dalam talian selepas menyerbu tiga bilik yang disyaki digunakan sebagai 'calling centre' (pusat panggilan) di tingkat tujuh sebuah kompleks beli-belah di Jalan Pintas, Penampang, pada Selasa.

Menerusi serbuan Ops Dadu pada jam 12.15 tengah hari itu, seramai 39 individu termasuk 20 wanita warga tempatan, China dan Indonesia ditahan.

Iklan
Iklan

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, serbuan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota D7 IPK Sabah menyerbu bangunan berkenaan dan hasil pemeriksaan terdapat tiga bilik yang berpenghuni dan disyaki menjalankan kegiatan perjudian 'calling centre'.

Iklan

"Terdapat 39 individu terdiri daripada 19 lelaki dan 20 wanita berusia 20 hingga 40 tahun disyaki bekerja mempromosikan judi dalam talian. Mangsa mereka dipercayai dari beberapa negara luar," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kudat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat pada Rabu.

Mengulas lanjut, Jauteh berkata, pihaknya turut merampas peralatan perjudian dalam talian yang digunakan di dalam bangunan berkenaan.

Iklan

"Antara rampasan iaitu 74 monitor komputer pelbagai jenama, 38 pemprosesan komputer dan 22 telefon bimbit pelbagai jenama.

"Hasil siasatan awal mendedahkan sindiket ini dipercayai sudah beroperasi selama lebih dari enam bulan," katanya

Katanya, premis itu disewa oleh sindiket berkenaan bagi menjalankan kegiatan perjudian 'calling centre'.

"Pekerja diberi gaji RM1,500 yang dibayar melalui akaun dan soal siasat terhadap semua tangkapan mendedahkan mereka ini bekerja di tempat itu selepas terbaca iklan di Facebook yang menawarkan pekerjaan sebagai pegawai khidmat pelanggan," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.